Pura-pura mahu pinjam, sebelum 'rembat' motosikal warga emas
KUALA LANGAT - Seorang lelaki berpura-pura mahu meminjam sebelum melarikan motosikal milik seorang warga emas dalam kejadian di Pekan Banting di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, laporan diterima mangsa berumur 65 tahun itu kira-kira jam 11.15 pagi.
"Ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa didatangi seorang lelaki warga tempatan yang mahu meminjam motosikal miliknya dengan alasan ingin menghantar barang yang dibeli.
"Bagaimanapun, belum sempat mangsa mengizinkan, suspek kemudiannya terus bertindak melarikan motosikal milik mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, suspek kemudiannya berjaya diberkas sepasukan anggota polis di sekitar kawasan Klang Utara pada Selasa.
"Suspek berumur 42 tahun itu ditahan bersama motosikal milik mangsa kira-kira jam 12.30 pagi.
"Semakan dijalankan mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.
Menurutnya, suspek kemudiannya direman empat hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!