Yasin tiba-tiba ada idea tanam ganja - Pakar

Yasin dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa untuk mendengar keputusan tiga kes dadah yang dihadapinya. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Yasin dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa untuk mendengar keputusan tiga kes dadah yang dihadapinya. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman secara tiba-tiba ada idea untuk menanam pokok ganja.

Dr Ian Lloyd Anthony berkata demikian ketika prosiding bela diri hari pertama Yasin, 48, yang berdepan tiga tuduhan kes dadah.

Saksi pembelaan pertama berusia 43 tahun ini berkata, kecenderungan itu berlaku kerana Yasin menghidap penyakit ‘bipolar disoder’ atau kecelaruan afektif.

Ketika disoal peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin, Dr Ian berkata, tertuduh turut mengalami penyakit ‘hyperthyroidism’.

Menurutnya, penyakit menjurus kepada gejala penyakit mania seperti terlalu gembira, banyak cakap, bertenaga tinggi dan mempunyai banyak buah fikiran.

Katanya, ia mempengaruhi keupayaan kognitif Yasin, sehingga dia tidak dapat menumpukan perhatian serta menjejaskan kebolehan untuk membuat pertimbangan dengan baik.

“Gejala penyakit tersebut semakin memuncak apabila timbul idea untuk menanam pokok itu dan bercadang untuk mengusahakan projek perubatan kanabis.

“Walaupun dia sedar akibat perbuatan berkenaan, namun gejala mania yang dialami menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa kejadian yang didakwa berlaku pada 24 Mac 2022, beliau berkata, tertuduh berada dalam keadaan mental yang tidak waras secara perubatan mahupun undang-undang.

Dr Ian berkata, Yasin tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan tersebut salah dari segi undang-undang.

Selain itu katanya, Yasin didapati mula mengalami gejala penyakit berulang lebih kurang tiga bulan sebelum didakwa di mahkamah ini.

“Dia berasa dirinya hebat dan bertanggungjawab untuk mencari rawatan yang mujarab bagi merawat pesakit yang dihadapi.

“Bagaimanapun, tertuduh tidak mempunyai pengetahuan mahupun kemahiran untuk memproses dan mengekstrak komponen kanabis untuk menghasilkan produk itu,” katanya.

Berdasarkan laporan juga, beliau berkata, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu tidak mengalami gejala halusinasi.

Menurutnya, keadaan mentalnya semakin baik selepas menerima rawatan dan stabil ketika kesimpulan laporan kesihatan ini dibuat.

Susulan itu, Dr Ian berkata, Yasin layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu untuk membela diri.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Faiz Dziyauddin bersambung pada 17 Oktober ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!