PRK Kemaman: BN cuba nasib biarpun potensi kelam

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman susulan Pas tidak berhasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan, Che Alias Hamid.

Meskipun harapan untuk menang tipis Ahmad Zahid berkata, sebagai parti bermaruah pihaknya akan mencuba nasib untuk mengurangkan majoriti yang diperoleh Pas sebelum ini.

"Majoriti yang diperoleh bekas ahli Parlimen sebelum ini adalah lebih 27,000, sebagai parti bermaruah walaupun potensi kelam, dengan mengurangkan majoriti pun sudah cukup baik," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal di sini pada Selasa.

Menurutnya, satu pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut akan dibuat.

Mahkamah membatalkan kemenangan Che Alias menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 26 September selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Che Alias memenangi kerusi itu selepas mendapat 65,714 undi menewaskan tiga calon lain, iaitu Datuk Seri Ahmad Said daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 38,535 undi, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan 8,340 undi), dan Rosli Ab Ghani (Pejuang 506 undi).

Che Alias berjaya mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.

Terdahulu, Pas memutuskan tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya itu.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, justeru Pas kini menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!