Kerajaan perlu laksana reformasi pasaran beras tempatan - IDEAS
SHAH ALAM - Kerajaan disaran menggunakan tempoh lapan tahun akan datang untuk melaksanakan reformasi dalam pasaran beras tempatan bagi mendorong daya saing, kecekapan dan inovasi dalam usaha menangani cabaran rangkaian bekalan dan kos import.
Mengambil kira konsesi 10 tahun kerajaan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dari 2021 hingga 2031, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, reformasi tersebut perlu agar krisis terbabit cabaran dapat diatasi seiring kenaikan harga barang keperluan global.
"Kawalan harga beras dengan niat untuk mencapai keterjaminan makanan melalui penstabilan harga telah membawa kepada monopoli beransur-ansur dalam rangkaian bekalan padi dan beras.
"IDEAS telah merangka satu pelan hala tuju dalam Kertas Dasar IDEAS No 71, bertajuk 'Paddy and Rice Sector Policy Roadmap: Towards Equity and Sustainability' yang mencadangkan, antaranya penghapusan subsidi ladang dan monopoli import Bernas.
“Isu-isu yang melanda industri pertanian seperti pertumbuhan perlahan dan pelaburan modal baharu serta penyertaan petani muda yang rendah berleluasa disebabkan lanjutan konsesi Bernas sehingga tahun 2031," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, gesaan kumpulan tertentu untuk melarang warga asing di Malaysia membeli beras tempatan dan meletakkan kesalahan kepada komuniti rentan tidak menyelesaikan punca masalah sebenar.
Oleh yang demikian, badan pemikir itu turut meminta pendekatan berperingkat dalam reformasi yang akan dilaksanakan bagi memudahkan peralihan ke pasaran terbuka dan penyahkawalseliaan import.
Ini kerana keterjaminan bekalan beras boleh dicapai melalui peningkatan produktiviti dan pengeluaran serta industri yang lebih berdaya saing berbanding amalan monopoli semasa.
Sementara itu Felo Kanan IDEAS, Profesor Dr Fatimah Mohamed Arshad dalam kenyataan bersama mendedahkan, Malaysia tidak mengambil langkah serius untuk memodenkan sektor padi dan membina kebolehselidikan terhadap ketidakstabilan serta ketidakpastian pasaran selepas krisis harga beras pada 2008.
Sebaliknya beliau berkata, Malaysia meneruskan dasar perlindungan setengah abad dalam industri berkenaan walaupun terdapat impak nyahindustri jelas dengan pertumbuhan yang perlahan, terutama dalam produktiviti.
"Industri ini sedang mengalami penurunan, didorong oleh faktor iklim, kos input yang tinggi, inflasi dan kelemahan struktur. Apabila pengeluaran menurun, ketergantungan terhadap import meningkat bersamaan dengan inflasi import.
"Kesan terburuk larangan eksport India telah meletakkan negara ke dalam situasi 'kekurangan beras dan krisis harga', yang boleh dielakkan jika Malaysia dapat memastikan keterjaminan bekalan beras melalui peningkatan produktiviti dan pengeluaran serta industri lebih berdaya saing.
"Jelas bahawa industri ini memerlukan perubahan sistematik segera untuk ketahanan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!