PERKESO lancar Karnival Aspirasi Madani, sasar lebih ramai carum SKSSR
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Karnival Aspirasi Madani dengan mempromosikan kempen Ayuh Daftar Suri @ PERKESO dalam usaha menarik lebih ramai suri rumah mendaftar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2023.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada suri rumah mengenai kepentingan SKSSR sebagai perlindungan sosial.
"Pihak PERKESO ada memaklumkan, sekiranya berlaku kemalangan pencarum akan mendapat bayaran balik lebih daripada jumlah caruman yang dikeluarkan iaitu RM120 setahun.
"Jadi, menerusi karnival ini diharapkan lebih ramai suri rumah atau suami mengenali SKSSR. Kempen ini akan disebar luas melalui semua saluran yang ada untuk memberi kesedaran kepada mereka," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Aspirasi Madani pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed mengharapkan lebih ramai suri rumah dan suami mendaftarkan isteri mereka di bawah skim berkenaan.
"Suri rumah bekerja lebih 12 jam sehari, jadi mereka terdedah kepada pelbagai risiko bukan sahaja kemalangan di rumah tetapi juga penyakit tidak berjangkit.
"Malang tidak berbau, kita pun tidak tahu tempoh jangka hayat diri. Demi menjamin kesinambungan institusi keluarga, jangan anggap ini sebagai satu bebanan tetapi anggaplah ia sebagai satu jaringan keselamatan sosial dan gantian pendapatan pada masa depan," jelasnya.
Tambah beliau, karnival yang berlangsung di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak itu melibatkan penyertaan 20 majikan dengan lebih 6,000 jawatan kerja merangkumi kekosongan dalam pelbagai industri utama negara ditawarkan.
Katanya, matlamat penganjuran karnival adalah sebahagian daripada rangkaian usaha yang dirancang oleh kerajaan dalam menangani isu pengangguran, selain merancakkan perkembangan pasaran buruh negara.
“Beberapa penyerahan turut diadakan seperti tajaan caruman SKSSR, penyampaian faedah PERKESO menerusi Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) dan SKSSR, serta penyerahan surat tawaran kerja kepada pencari kerjaya yang berjaya memperoleh pekerjaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!