Nadhir Nasar jawab kontroversi MV Malampagi

Nadhir Nasar
Nadhir Nasar
A
A
A

PENGARAH video muzik Malam Pagi, Nadhir Nasar mempertahankan video muzik (MV) pertama arahannya, Malampagi nyanyian Saixse biarpun dikatakan mempromosikan unsur maksiat.

Jelas Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, meskipun ada yang merasakan video muzik tersebut mempunyai unsur negatif, tetapi dia hanya menyampaikan realiti yang berlaku dalam masyarakat.

“Saya seorang yang berpegang kepada prinsip. Prinsip saya menyampaikan mesej kepada umum.

“Saya berada dalam industri bukan untuk glamor atau kejar pengikut. Sebagai pengarah dan penulis video muzik itu, saya cuma sampaikan mesej yang mungkin orang kata keterlaluan tapi itulah realitinya,” katanya.

Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Super Wira di TGV Pavilion Bukit Jalil pada Selasa.

Tambah Nadhir, sebagai pengarah, dia sudah melakukan tugasnya dan terpulang kepada interpretasi penonton untuk mengikut yang baik atau yang buruk.

“Bila lagu itu dimainkan di radio, ramai orang sangka ia tentang lagu ‘healing’ generasi kini. Jadi saya tukar persepsi tersebut kepada lagu yang ada mesej yang boleh digunakan.

“Lambat-laun orang akan faham kerana pada akhirnya semua akan kembali pada ALLAH,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditebak kemungkinan video muzik tersebut akan disekat tayangannya, bintang Projek High Council itu terbuka menerimanya.

“Saya tak risau jika muzik video tersebut diharamkan. Saya sudah jalankan tanggungjawab sebagai pengarah dan terpulanglah orang luar untuk menilai karya tersebut.

“Saya bukan sukakan provokasi cuma saya suka benda yang realiti. Suka atau tidak kena terima, tetapi itulah manusia, kita lebih selesa hidup dalam penafian dan tidak suka kebenaran,” ujarnya.

Terdahulu pengguna media sosial mendakwa lirik dan video muzik Malampagi berunsur lucah di samping memaparkan nilai sosial yang tidak baik kepada generasi muda.

Malah, individu terbabit turut mempersoalkan kredibiliti badan bertanggungjawab kerana lagu tersebut masih lagi dimainkan di radio.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!