Dua beradik didera ibu kandung, teman lelaki
MUAR - Dua beradik berusia lima dan enam tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung serta teman lelakinya di sebuah rumah di Jalan Meriam di sini baru-baru ini.
Perbuatan itu terbongkar semasa bapa kandung mereka memandikan mangsa dan terlihat ada kesan lebam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, susulan itu bapa mangsa membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
"Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar ke rumah suspek di Jalan Meriam dan menahan mereka pada jam 2.30 petang Jumaat.
"Dua beradik perempuan itu disyaki dipukul menggunakan rotan oleh ibu mereka yang berusia 36 tahun dan bukan warganegara, manakala suspek lelaki adalah warga tempatan berusia 38 tahun," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Raiz Mukhliz berkata, dua beradik itu telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Bapa kandung mangsa yang merupakan warga tempatan kini berada di hospital menjaga kedua-dua anaknya,” katanya.
Menurut beliau, suspek wanita disahkan tidak tinggal lagi bersama suaminya sebaliknya dengan suspek lelaki.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman hingga 6 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!