Lima pelajar wakili Malaysia TeenEagle Global Finals di Itali
IPOH - Lima pelajar termasuk tiga beradik menjadi satu-satunya pasukan yang mewakili negara ke kejohanan Bahasa Inggeris, TeenEagle Global Finals di Fraterna Domus Auditorium, Rom, Itali.
Pasangan kembar, R Usheyta dan R Ushana, 13, dan adiknya, R Dhaniya, 10, serta dua beradik, VR Sharvika, 12, dan VR Thipikaa, 9, akan berentap bersama 55 negara lain dalam pertandingan yang berlangsung selama seminggu bermula Ahad ini.
Menurut Usheyta, mereka telah melakukan persediaan rapi sejak setahun lalu selepas memenangi emas di peringkat kebangsaan secara dalam talian Disember lalu.
"Terdapat empat kategori iaitu kuiz pengetahuan, cabaran penulisan, 'spelling bee' dan pengucapan awam.
"Kami berusaha membuat yang terbaik dengan mengulangi kejayaan peringkat kebangsaan dengan membawa pulang emas dan anugerah khas bagi setiap kategori," katanya ketika ditemui di Pejabat Puncak Emas Infra (PEISB) Sdn Bhd, Falim di sini pada Selasa.
Sementara itu, Pengurus Besar PEISB, Saiful Azzuan Aznam berkata, sumbangan sebanyak RM10,000 diberikan bagi membiayai sebahagian perbelanjaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist, Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Chettiars itu.
"Ia merupakan sebuah inisiatif dalam memberikan sokongan moral kepada pelajar yang berjaya sehingga tahap ini.
"PEISB percaya dengan prestasi dan potensi yang ditonjolkan pelajar ini mampu melonjakkan nama negara ke peringkat antarabangsa," katanya.
Menurut beliau, PEISB telah menyumbang lebih RM3.5 juta dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam tempoh empat tahun.
Program TeenEagle Global telah diiktiraf dan diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelajar akan memperoleh markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) untuk peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!