Tendang pengadil: Selangor tamatkan kontrak Yazan serta-merta
SELANGOR FC membuat keputusan untuk menamatkan khidmat pemain pertahanannya, Yazan Al-Arab susulan insiden menendang pengadil ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 September lalu.
Kelab itu dalam kenyataan berkata, satu prosiding tatatertib telah dilakukan selepas kejadian tersebut sekali gus mencapai persetujuan penamatan kontrak secara bersama dan berkuatkuasa serta merta.
"Kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan AI-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.
"Kami di Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan AI-Arab di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan Kelab.
"Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan. Terima kasih, Yazan," kata kenyataan itu pada Selasa.
Insiden Yazan menendang pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir itu berlaku selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Selangor tewas kepada Terengganu FC dengan agregat 3-1 dan gagal mara ke perlawanan separuh akhir.
Video Yazan menendang pengadil itu juga tular di media sosial yang menyaksikan pemain import dari Jordan itu terlebih dahulu berkata sesuatu sebelum menolak Mohd Hasrol, sekali gus dia dilayangkan kad merah.
Kemudian, Yazan dilihat menendang Mohd Hasrol sebelum dia ditenangkan oleh rakan sepasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!