Belanjawan 2024: Agenda pendigitalan pendidikan antara fokus KPM

Fadhlina (tengah) bersama tetamu terhormat dan peserta pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan 2023 di Institut Aminuddin Baki pada Selasa. - Foto Bernama
Fadhlina (tengah) bersama tetamu terhormat dan peserta pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan 2023 di Institut Aminuddin Baki pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

GENTING HIGHLANDS - Agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara adalah antara yang akan diberikan tumpuan oleh Kementerian Pendidikan dalam Belanjawan 2024, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, agenda itu akan dipacu sepenuhnya melalui peruntukan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini, sekali gus bagi menyokong Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bertujuan melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

"Kita sudah luncurkan DPD dengan penguasaan dan kemahiran yang sudah pun ada dalam kalangan pelajar dan guru...Insya-ALLAH kemajuan dari segi pendidikan digital akan dipacu sepenuhnya dalam Belanjawan 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga Mengenai Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan (ICELAM) di Institut Aminuddin Baki (IAB) pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan akan terus mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan Madani 2024.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, tumpuan juga akan diberikan kepada pembangunan, pembaikan dan penyelenggaraan serta dasar-dasar yang akan memberi impak kepada pendidikan negara secara keseluruhannya.

"Kita jangan lihat peruntukan yang besar ini semata-mata, sebenarnya ia berikan tanggungjawab kepada kita untuk selesaikan dan beri tumpuan kepada dasar-dasar yang akan berikan impak kepada pendidikan negara di mana kita akan bercakap tentang kurikulum 2027, tentang perubahan besar dalam pendidikan, pasca pelan pendidikan kita dan turut terkait rapat dengan pendidikan karakter,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!