Gadis tercampak maut digilis lori
BATU PAHAT - Seorang gadis maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer (KM) 119, Jalan Tanjung Laboh-Johor Bahru-Melaka, di sini, pada Selasa.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kemalangan yang turut melibatkan sebuah kereta dan lori itu tersebut dipercayai berlaku sekitar 8.30 pagi.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan terjadi ketika penunggang motosikal (gadis) yang berusia 24 tahun itu telah terlanggar bahagian belakang kereta yang diparkir di laluan motosikal kerana mengalami kerosakan.
“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang bersama motosikalnya telah terjatuh ke arah kanan jalan dan dilanggar oleh lori dari arah yang sama.
“Perlanggaran itu menyebabkan gadis tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat.
Pemandu kereta dan lori pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu dan membahayakan.
Polis turut memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut tampil membantu siasatan polis.
Mereka juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!