Kejelasan dasar penting untuk raih keyakinan pelabur - Anwar
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejelasan dasar penting untuk meraih keyakinan pelabur asing dan juga domestik.
Beliau berkata, melalui dasar yang jelas, seperti Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan juga Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan telah beralih daripada pendekatan tradisional menyemak semula dasar.
Sebaliknya, kerajaan telah melakukan anjakan dan penyesuaian dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi negara pada masa ini, katanya.
Anwar berkata, beliau akan lebih optimis pada hasil yang bakal dicapai pada masa depan sekiranya kerajaan menguruskan ekonomi dengan dasar yang jelas dan merancang lebih awal untuk mencapai keputusan sambil menangani masalah dengan sedaya mungkin.
"Kejelasan dasar penting untuk menjana keyakinan pelabur asing dan domestik kerana terdapat defisit kepercayaan secara umumnya.
"Selain itu, terdapat defisit kepercayaan disebabkan dasar sebelum ini dibentuk untuk memberi keuntungan kepada golongan elit sehingga menjejaskan majoriti penduduk. Jadi peralihan dalam tadbir urus ini, bagi saya, adalah kritikal,” kata Perdana Menteri semasa menyampaikan ucapan penutup pada Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2023, di sini, pada Selasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!