'Jika menang PRK Pelangai, PN intai peluang ubah Kerajaan Pahang'- Muhyiddin
JELEBU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak gabungan itu kini mengintai peluang untuk membentuk Kerajaan Negeri Pahang sekiranya calonnya Kasim Samat menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Menurutnya, PRK Pelangai adalah medan untuk untuk rakyat khususnya majoriti Melayu memberikan isyarat jelas kepada gabungan itu mengubah kepimpinan kerajaan negeri.
"Tambah satu (Pelangai), jadi 18... kurang empat saja (kerusi PN di Pahang), kot-kot (mana tahu) esok bangun pagi entah ada ahli yang berhormat UMNO masuk jemaah kita.
“Menteri Besar kita ada dekat sini, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man Insya-ALLAH bakal Menteri Besar Pahang," katanya ketika berucap pada sesi dialog bersama NGO-NGO Melayu Pahang di Simpang Durian, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, beliau berkata PN terbuka menerima sokongan daripada mana-mana pihak sama ada rakyat atau ahli parlimen yang mahu bersama mereka.
Namun beliau berkata, isu empat Ahli Dewang Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang bakal lompat parti sekiranya PN menang di Pelangai bukan dalam pengetahuannya.
"Saya mengalu-alukan (ADUN lompat). Saya tak pasti siapa dia. Betul ke ya? tu saya tanya balik," katanya.
Ditanya adakah memang menjadi rancangan PN untuk mengubah kerajaan negeri selepas PRK Pelangai, beliau berkata, PRK itu cukup penting dan gabungan tersebut sedang berusaha keras memperoleh kemenangan walaupun sedar bilangan ADUN masih belum cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
"Tengok keadaan dan masa, kalau ada keadaan tertentu yang berlaku yang menyebabkan kita boleh bentuk kerajaan, kita harap kita boleh bentuk kerajaan (Pahang).
"Tapi kita tahu sistem Parlimen, ada peraturan, ada perlembagaan, kita faham semua sekali. Tapi apa pun (soal kemenangan) ini terserah kepada rakyat Pelangai," katanya.
Media melaporkan terdapat poster tular dalam media sosial memaparkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal diisytiharkan sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya PN menang dalam PRK DUN Pelangai.
Terdapat juga desas-desus menyatakan sekiranya PN menang di Pelangai terdapat empat wakil rakyat daripada BN akan memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!