Sukan Asia: Kem skuasy tambah tiga lagi pingat

Skuad Wanita Skuasy Kebangsaan (dari kiri) Aira Azman, Aifa Azman, Rachel Arnold dan S Sivasangari pada Sukan Asia Hangzhou 2022. - Foto Bernama
Skuad Wanita Skuasy Kebangsaan (dari kiri) Aira Azman, Aifa Azman, Rachel Arnold dan S Sivasangari pada Sukan Asia Hangzhou 2022. - Foto Bernama
A
A
A

KEM skuasy dijangka menambah koleksi pingat buat kontinjen Malaysia selepas mengesahkan tiga slot separuh akhir acara individu di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Selasa.

Pemain perseorangan lelaki Ng Eain Yow meletakkan diri dalam radar pemburuan pingat selepas mengetepikan Abdullah Almezayen dari Kuwait 14-12, 11-6, 11-1 di suku akhir berlangsung di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Wakil negara yang diletakkan sebagai pilihan utama menempah pertemuan dengan Abdullah Al-Tamimi dari Qatar, yang menyingkirkan seorang lagi wakil negara Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 11-2, 11-7, 11-2.

Dalam acara perseorangan wanita pula, S. Sivasangari mengecewakan pemain Korea Selatan Heo Mingyeong 11-4, 11-2, 11-8 untuk mara ke separuh akhir berdepan Satomi Watanabe dari Jepun yang mengalahkan wakil India, Tanvi Khannad 11-5, 11-6, 14-12.

Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman pula menewaskan Yoo Jaejin-Eum Hwayeong dari Korea Selatan 11-5, 11-6 untuk melangkah ke separuh akhir.

Beregu campuran negara itu akan berdepan wakil India Abhay Singh-Anahat Singh, yang sebelum itu menundukkan pasangan Lee Dongjun-Yang Yeonsoo dari Korea Selatan 11-4, 8-11, 11-1.

Bagaimanapun nasib berbeza buat naib juara Kejohanan Remaja Dunia Aira Azman apabila terkandas di suku akhir, tewas kepada pemain Hong Kong Chan Sin Yuk 7-11, 4-11, 4-11.

Terdahulu, Ivan Yuen-Rachel Arnold pula terlepas slot ke suku akhir apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan C, tewas tipis kepada Wong Chi Him-Lee Ka Yi dari Hong Kong 9-11, 10-11.

Sementara itu, pengurus pasukan Mohd Nafzahizam Mohd Adnan berharap para pemain akan meneruskan rentak cemerlang mereka pada perlawanan esok untuk memburu slot ke final. Pasukan skuasy wanita menghadiahkan pingat emas dalam acara berpasukan manakala lelaki menyumbang gangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!