Kerajaan perlu beri perhatian kemudahan kesihatan

Rakyat berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan lebih besar untuk sektor kesihatan tahun hadapan. (Gambar kecil dari kiri: Wan Nazarimi, Rossamri, Tuan Wil)
Rakyat berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan lebih besar untuk sektor kesihatan tahun hadapan. (Gambar kecil dari kiri: Wan Nazarimi, Rossamri, Tuan Wil)
A
A
A

KUANTAN - Mewujudkan lebih banyak klinik komuniti, menaik taraf kemudahan di klinik kesihatan yang uzur dan menambah petugas kesihatan di zon kritikal antara penambahbaikan dalam perkhidmatan kesihatan yang diharapkan rakyat di negeri ini.

Walaupun berpuas hati dengan mutu perkhidmatan kesihatan sedia ada, namun bagi mereka masih ada yang perlu diberi perhatian dan ditambah baik untuk keselesaan terutama kepada pesakit yang datang menerima rawatan sama ada di klinik kesihatan mahupun hospital.

Tuan Wil Tuan Mat, 62, dari Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra di sini, berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan lebih besar untuk sektor kesihatan tahun hadapan.

Menurutnya, antara yang perlu dipertimbangkan termasuklah mewujudkan kembali klinik komuniti seperti mana Klinik 1Malaysia yang pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

“Bagi saya klinik komuniti ini cukup membantu terutama bagi pesakit bergejala ringan.

“Tidak kisahlah nak guna nama apa pun yang penting kemudahan itu dapat membantu rakyat mendapat rawatan dengan cepat dan kosnya murah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Wil juga mengharapkan bilangan petugas di zon kritikal hospital termasuk di negeri ini ditambah seiring dengan keperluan semasa.

“Keperluan kakitangan di zon kecemasan hospital termasuk di negeri perlu diteliti supaya pesakit khususnya yang kritikal dapat menerima rawatan dengan segera,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Antara yang perlu dipertimbangkan termasuklah mewujudkan kembali klinik komuniti seperti Klinik 1Malaysia yang pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
Antara yang perlu dipertimbangkan termasuklah mewujudkan kembali klinik komuniti seperti Klinik 1Malaysia yang pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Rossamri Jahari, 53, dari Kampung Pianggu, Rompin pula berkata, kerajaan perlu meningkatkan perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar seperti menambah bilangan klinik dengan kemudahan rawatan lebih lengkap.

“Perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan penduduk di sesuatu kawasan semakin bertambah.

“Setidak-tidaknya naik taraf klinik kesihatan sedia ada dengan menempatkan petugas perubatan tetap, peralatan serta bekalan ubat-ubatan mencukupi,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan klinik yang lengkap, penduduk kampung boleh mendapatkan rawatan segera bagi kes-kes sakit biasa tanpa perlu ke klinik kesihatan atau hospital di bandar.

Bagi Wan Nazarimi Wan Awang, 39, terdapat beberapa masalah yang sering menerima rungutan pesakit ketika menerima rawatan di klinik kerajaan termasuklah ruang menunggu panas hingga mendatangkan rasa tidak selesa kepada mereka yang terpaksa menunggu lama.

“Harap sangat ada peruntukkan untuk mengatasi masalah ini tahun depan. Kalau boleh kipas di ruang menunggu di setiap klinik diganti dengan penyaman udara.

“Yang sudah berhawa dingin, harapnya ia sentiasa diselenggara supaya berfungsi dengan baik,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!