Kapal dagang berlabuh gugat hasil tangkapan nelayan Melaka
PEMBUKAAN pelabuhan untuk kapal dagang berlabuh membuktikan ekonomi semakin berkembang pesat dan maju.
Bagaimanapun, kesesakan kapal dagang yang berlabuh di sekitar Tanjung Kling, Melaka, diibaratkan seperti mimpi buruk bagi nelayan pesisir pantai.
Ini kerana bukan sahaja sumber pendapatan mereka terjejas apabila kehadiran kapal dagang mencacatkan eko sistem sedia ada, malah peralatan digunakan untuk menangkap ikan turut rosak.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NOR FARHANA YAAKOB yang mendengar luahan dan masalah nelayan tempatan yang seakan teraniaya.
Hasil tangkapan nelayan di tujuh pangkalan di negeri ini terjejas teruk ekoran kesesakan pelabuhan kapal dagang di perairan Tanjung Kling.
Keadaan itu menyebabkan kira-kira 240 nelayan mengeluh memandangkan masalah dihadapi sejak 2015 sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian.
Ketua Komuniti Nelayan Pangkalan Tanjung Kling, Aziz Jaapar, 59, berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai pertemuan dan aduan dipanjangkan namun masih mengecewakan.
Menurutnya, nelayan terpaksa beralih jauh ke tengah laut termasuk mengalami kerugian apabila peralatan menangkap ikan seperti pukat rosak dilanggar kapal dagang yang mahu berlabuh.
“Isu sama turut dihadapi nelayan di pangkalan lain seperti di Pantai Puteri, Balik Bukit, Tanjung Kling, Sungai Lereh, Klebang dan Perigi.
“Sekarang nak dapat RM70 pun susah, dulu senang letak pukat di mana-mana boleh dapat hasil tapi sekarang dah tak selamat bila perairan penuh dengan kapal berlabuh.
“Paling kesal apabila minta berikan kerjasama untuk alihkan kapal, mereka tak boleh melakukannya kerana pihak berkuasa sudah menetapkan koordinasi itu,” katanya.
Katanya, apa yang menjadi persoalan sekarang di mana tempat selamat untuk nelayan menangkap ikan dan berbaloi.
Nelayan muda, Nur Muhammad Azri Mustafa, 33, berkata, tindakan pewartaan zon kapal telah diambil, namun persempadanan dilakukan perlu dikaji semula susulan berlaku pertembungan di lokasi perairan perikanan.
“Sekiranya masalah ini berlanjutan, tidak mustahil nelayan akan pupus dan tiada lagi pelapis pada masa akan datang, sekali gus menjejaskan sistem sekuriti makanan setempat.
“Walaupun kerajaan memberi bantuan RM300 sebulan kepada nelayan, namun peruntukan ini tidak dapat mengurangkan beban jika kami berterusan hilang punca pendapatan.
“Pukat saya juga hampir menjadi mangsa kapal besar. Jadi kalau setiap hari begini, tak perlu saya ke laut dan lebih baik bekerja di pam minyak dengan gaji RM1,500 sebulan,” katanya.
Bagi Shaari Rabu, 54, pula kerajaan negeri perlu membuat persempadanan semula zon perikanan sekurang-kurangnya pada kedudukan 10 batu nautika dari pesisir pantai.
“Kawasan ini perlu bebas daripada sebarang aktiviti kapal dagang bagi menjamin kelangsungan sektor nelayan selain mengelakkan kami menanggung kerosakan peralatan menangkap ikan mencecah ribuan ringgit.
“Kita nak buat macam mana lagi, mereka tidak mengambil tindakan dan di mana kami nak mengadu lagi,” katanya.
Arah kapal berlabuh lebih teratur
Kerajaan negeri sudah mengarahkan kedudukan kapal dagang di perairan itu diselaraskan bagi memastikan ia tidak menjejaskan hasil tangkapan nelayan.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah penyelarasan dan susun atur kapal penting supaya nelayan di tujuh pangkalan terjejas dapat meneruskan aktiviti tangkapan laut tanpa sebarang gangguan atau kerugian.
Menurutnya, persetujuan penanda plot akan dilakukan selepas mengadakan perbincangan dan kajian di antara pihak Pelabuhan Tanjung Bruas, Pelabuhan Klang, Jabatan Perikanan negeri, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan persatuan nelayan.
“Maksudnya, kita buat penjadualan kapal dan mungkin boleh mengehadkan satu kapal dalam satu kawasan dan juga susunan mereka mesti dalam satu garisan selari.
“Jadi nelayan kita boleh turunkan pukat dan jala tanpa perlu memikirkan pukat akan tersangkut,” katanya.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, apabila zon kapal berlabuh diwujudkan maka mereka boleh meletakkan kapal di lokasi sesuai dan lebih strategik.
“Biarpun bot nelayan memasuki zon kapal berlabuh, tapi mereka tetap boleh menangkap ikan tanpa merosakkan jaring atau pukat.
“Ini memerlukan penelitian dan juga perincian yang mendalam.
“Jadi pihak berkaitan akan beritahu kawasan yang akan ditandakan plot untuk kapal berlabuh kepada kita tidak lama lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!