Perkenal undang-undang lebih berkesan perangi rasuah
SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen digesa untuk mengusulkan di Dewan Rakyat untuk penggubalan undang-undang yang lebih berkesan dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pahang, Ali Akbar Othman berkata, usul tersebut wajar dilakukan supaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjalankan siasatan dan bukan hanya diuruskan oleh Peguam Negara.
“Urusan siasatan kes rasuah sepatutnya daripada pihak SPRM sendiri, tapi mereka tiada hak untuk gubal undang-undang.
“Kerajaan Madani sekarang hendak hapuskan rasuah, jadi ahli Parlimen mereka perlu usulkan perkara ini di Dewan Rakyat.
“Jika hal itu disuarakan di Parlimen, baru rakyat akan mula yakin dan percaya dengan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian sebelum inii melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan kerajaan sentiasa memiliki tadbir urus yang baik dengan menegakkan prinsip integriti terutamanya menolak amalan rasuah, bagi merealisasikan perancangan kemajuan negara.
Sementara itu, Ali Akbar menambah, pihak SPRM sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik lebih-lebih lagi dari segi perundangan yang semakin tegas.
“Apa yang kita boleh lihat sekarang, mereka ada rampas atau sita harta. Tindakan itu nampak keras dan ada perubahan dari pihak SPRM.
“Kalau boleh baiki dari segi penggubalan undang-undang itu, saya yakin bahawa rakyat akan mula percaya dengan SPRM,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!