Tidur sekejap waktu kerja bukan curi tulang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BUDAYA inemuri atau tidur seketika semasa waktu bekerja di pejabat bukanlah tanda seseorang itu malas.

Malah dalam Islam, tidur sekejap di waktu siang atau qailullah menjadikan badan yang lesu kembali cergas.

Di Jepun pula ia memang digalakkan kerana pekerja yang tidur sekejap dianggap pekerja berdedikasi kerana inemuri membolehkan pekerja bangun dalam keadaan segar dan meneruskan tugasan di pejabat dengan proaktif.

Tetapi di negara ini, Merak Jalanan percaya tiada bos yang suka melihat anak buahnya tidur lebih-lebih semasa waktu bekerja. Jika ada yang berbuat demikian, sudah tentu dicap sebagai pemalas atau curi tulang.

Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual dengan rakan, melayari internet dan sebagainya.

Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat yang berjam-jam keletihan dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah.

Dari aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, Merak Jalanan berharap pekerja lain perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur seketika di pejabat.

Mungkin budaya inemuri tidak begitu praktikal dan janggal untuk masyarakat kita, namun pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan ini.

Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalkan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sebelum pulang ke rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!