Haramkan saja servis kuda

Servis kuda menjadikan Malaysia sangat sukar untuk mengatasi Thailand.
Servis kuda menjadikan Malaysia sangat sukar untuk mengatasi Thailand.
A
A
A

BADI 33 tahun skuad sepak takraw negara di Sukan Asia berterusan apabila sekali lagi kecundang di tangan musuh tradisi, Thailand dalam acara berpasukan pada Jumaat lalu.

Kekalahan itu mengundang pelbagai reaksi daripada peminat yang mengatakan bahawa pemain negara gugup serta tidak dapat menandingi kaedah libasan gulung Thailand, malah ada yang juga menyalahkan tekong kerana tidak konsisten.

Pun begitu, terdapat juga cadangan daripada peminat agar kaedah servis kuda diharamkan.

Servis kuda inilah yang menjadikan Malaysia sangat sukar untuk mengatasi Thailand dan negara gajah putih itu bernasib baik kerana ia tidak pernah diharamkan seperti yang berlaku kepada servis S atau servis Sidek dalam sukan badminton.

Bayangkan sekiranya servis Sidek tidak diharamkan, berkemungkinan besar Malaysia sudah menjadi kuasa badminton dunia!

Servis kuda dipelopori Thailand dan mula diperkenalkan di peringat antarabangsa sekitar pertengahan 1990-an dan sejak itu negara tersebut muncul kuasa besar sepak takraw.

Maka tidak hairanlah banyak pihak yang membantah penggunaan servis kuda dan meminta ia diharamkan dengan memberikan hujah bahawa tekong tidak boleh menghayun kaki melebihi kepala.

Malah, ada pihak yang berpendapat bahawa servis kuda membuatkan sukan sepak takraw menjadi bosan kerana hanya terdapat sedikit aksi di dalam gelanggang berbanding terlalu banyak servis yang menghasilkan mata atau pun ace.

Artikel Berkaitan:

Kelajuan servis kuda juga membunuh kesenian sepak takraw, seolah-olah sukan itu tidak memerlukan langsung seorang pakar taktikal.

Bagaimanapun, Persatuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) tidak melayan bantahan ini dengan alasan sebelum kewujudan servis kuda, memang terdapat tekong menggunakan servis berbentuk spike tajam dengan kaki diangkat tinggi.

Tindakan ISTAF sudah dijangka kerana ibu pejabatnya terletak di Bangkok, malah sebahagian besar orang kanan dalam ISTAF adalah warga Thailand termasuk presidennya, Charouck Arirachakaran.

Selepas servis kuda dibolehkan, Thailand sudah bersedia dengan Suebsak Phunsueb yang membuktikan bahawa negara itu sudah membuat perancangan sulit untuk menguasai sukan sepak takraw. Hasilnya, Suebsak menggunakan servis kuda untuk membawa Thailand merangkul pingat emas pada Sukan SEA Jakarta 1997.

Apa pun, servis kuda tidak boleh dipersalahkan 100 peratus, namun adalah lebih baik ia diharamkan agar sukan sepak takraw seronok untuk ditonton.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!