Menguap jangan sampai keluarkan bunyi ‘arghh’

TIDAK salah menguap, tetapi biarlah beradab dan jangan sampai mengeluarkan bunyi yang kuat. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
TIDAK salah menguap, tetapi biarlah beradab dan jangan sampai mengeluarkan bunyi yang kuat. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
A
A
A

MENDENGAR orang sebelah menguap sampai terkeluar bunyi 'arghh’ cukup membuatkan kita rasa terganggu. Inikan pula jika ‘iramanya’ terlalu kuat hingga terbit rasa kurang senang.

Tingkah sebegitu bukan sahaja dilihat kurang sopan, tetapi juga ada kaitannya dengan adab yang diajar oleh agama Islam.

Bukanlah tidak boleh menguap kerana ia sememangnya fitrah setiap insan, tetapi ada cara-cara dan perkara perlu dijaga.

Kalau boleh, jangan sampai dengar bunyi-bunyian itu!

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, makruh hukumnya apabila menguap dan bertambah makruh jika mengeluarkan bunyi seperti ‘haaa’.

USTAZ AZHAR IDRUS
USTAZ AZHAR IDRUS

“Disebabkan itu kita disunatkan untuk menahan diri daripada menguap sampai mengeluarkan bunyi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi infografik yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Artikel Berkaitan:

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Dan adapun menguap maka sesungguhnya ia daripada syaitan, maka tolaklah ia sekuasa mungkin. Maka apabila orang menguap mengeluarkan bunyi ‘haaa’, nescaya ketawa syaitan daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menjelaskan sebab syaitan ketawa kerana orang menguap keluarkan bunyi, Ustaz Azhar Idrus kemudian menukilkan pandangan Imam as-Son’ani dalam kitab at-Tanwir.

Imam as-Son’ani menyatakan: “Syaitan ketawa kepada orang menguap yang mengeluarkan bunyi itu kerana gembira orang itu telah sepakat dengan barang yang syaitan suka dan perbuatan seseorang kerana sebab-sebabnya dan kerana barang yang terkesan daripadanya, jadi malas seorang itu berbuat ibadah.”

Apabila kita menguap selepas ini, lazimkanlah diri untuk menutup mulut sebagaimana anjuran syariat.

DISUNATKAN menutup mulut ketika menguap. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
DISUNATKAN menutup mulut ketika menguap. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang di antara kamu menguap, maka hendaklah ia meletakkan tangannya ke mulut kerana sesungguhnya syaitan akan masuk ke mulut sekiranya tidak ditutup ketika menguap.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jangan pula kita biarkan mulut ternganga ketika menguap. Buruk benar rupanya!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!