Lens sentap ego Arsenal
KELAB Ligue 1, Lens bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Arsenal 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri awal pagi Rabu.
Pemain muda Lens berusia 20 tahun, Elye Wahi menjadi duri dalam daging buat Arsenal apabila meledak gol kemenangan tuan rumah pada babak kedua.
Ia menjadi kekalahan pertama The Gunners pada musim ini.
“Menewaskan Arsenal sudah tentu menjadi antara aksi yang paling memberikan kenangan buat saya di Lens.
“Saya sangat bangga dengan pemain,” kata pengurus Lens, Franck Haise yang membimbing pasukan itu dalam saingan divisyen dua pada 2020.
Dalam perlawanan itu, Gabriel Jesus memulakan aksi sempurna buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut menerusi jaringan pada minit ke-14 sekali gus membuatkan penonton di Stade Bollaert terdiam.
Bagaimanapun, kegembiraan The Gunners tidak bertahan lama apabila Adrien Thomasson memastikan naib juara Ligue 1 musim lalu itu menyamakan kedudukan dan pelawat terpaksa mengeluarkan Bukayo Saka sebelum rehat akibat kecederaan.
Wahi yang menyertai kelab itu pada awal musim ini meledak gol cantik pada minit ke-69 untuk menoktahkan kemenangan buat Lens.
Dalam pada itu, jurulatih Arsenal, Mikel Arteta kesal dengan kecederaan dialami Saka sambil menafikan gangguan ketika perjalanan pada Isnin menjejaskan prestasi pasukannya.
“Dia cuba menolak bola menggunakan tumit pada babak pertama dan merasa sesuatu tidak kena dengan ototnya. Dia tidak selesa untuk bermain, jadi terpaksa dikeluarkan," ujar Arteta.
Perjalanan Arsenal ke Perancis terjejas apabila penerbangan dari London tertunda selama lima jam pada Isnin akibat cuaca buruk.
“Tiada alasan. Tahniah buat Lens. Mereka pasukan yang bagus dan dilatih dengan baik.
"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” jelas Arteta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!