Nafas harap diberi kepercayaan terlibat pembuatan, pembekalan baja bersubsidi

Nafas lancar kempen Zero Late Delivery, elak lewat edar baja kepada pesawah padi.
Nafas lancar kempen Zero Late Delivery, elak lewat edar baja kepada pesawah padi.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berharap terus diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk terlibat dalam industri pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada golongan pesawah di negara ini dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober nanti.

Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin berkata, selain memiliki kilang pemprosesan baja di Gurun, Kedah dengan kapasiti pengeluaran mencecah 360,000 tan setahun, Nafas juga mempunyai pelan strategik menangani isu kelewatan pembekalan baja subsidi yang diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, tempoh penghantaran baja ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ditangani melalui pelaksanaan inisiatif 'Zero Late Delivery', satu langkah proaktif ke arah mentransformasikan pergerakan antaranya agar stok baja tersedia terus dihantar ke tempat berkenaan.

“Bagi memastikan keterjaminan makanan dalam aspek pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi berlangsung secara holistik, kami berharap Nafas terus diberi kepercayaan sebagai 'rakan penyelesaian' kepada kerajaan dalam agenda penting ini.

“Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam aktiviti pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada pesawah, kita harap terus dapat berperanan dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran padi melalui bekalan bantuan input pertanian berkualiti, mencukupi dan sampai mengikuti jadual penanaman padi oleh pesawah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Faris menjelaskan, pihaknya turut berharap mendapat tambahan peruntukan untuk Bantuan Subsidi Racun kepada pesawah daripada RM200 per hektar ke RM500 per hektar yang melibatkan anggaran nilai peruntukan tambahan daripada RM120 juta ke RM300 juta.

Ujarnya, tambahan peruntukan tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada pesawah dalam mengurangkan kos belian racun di pasaran luar dengan harga lebih tinggi, penambahan kuantiti dan pilihan racun lain berbanding pilihan semasa serta dapat mengurangkan belian racun tiruan atau yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Racun Malaysia.

“Tambahan peruntukan ini adalah selari dengan perancangan Nafas melalui rangkaian Pertubuhan Peladang di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bersama agensi berkaitan.

"Untuk terlibat secara langsung dalam proses pengeluaran dan pembekalan benih padi sah yang berkualiti, mencukupi serta tepat pada masa kepada pesawah,” ulasnya.

Artikel Berkaitan:


Beliau turut mengharapkan peruntukan tambahan daripada RM20 juta ke RM55 juta bagi kawasan pengapuran sekitar 18,000 hektar ke 50,000 hektar.

Katanya lagi, tambahan keluasan kawasan pengapuran dapat memendekkan pusingan pengapuran daripada 16 tahun kepada lapan tahun secara berperingkat supaya kawasan tersebut sentiasa berada dalam pH yang optimum.

Sementara itu, Muhammad Faris berkata, Nafas juga berharap peruntukan tambahan bagi penyediaan infrastruktur melibatkan kawasan tanaman luar jelapang yang mengalami isu pengairan dan perparitan serta menaiktaraf infrastrukur sedia ada bagi kawasan jelapang padi.

Tambah beliau, kerajaan diharapkan memberi implementasi insentif atau pengecualian cukai pendapatan ke atas perbelanjaan modal untuk memperluas dan memperkasakan penerimagunaan jentera sesuai bagi mengurangkan isu padi tumpah serta penggunaan aplikasi pelbagai teknologi moden serta transformasi digital dalam sektor pertanian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!