Bellingham cetus kemenangan Real Madrid
PEMAIN sensasi, Jude Bellingham memacu kemenangan Real Madrid ketika menumpaskan wakil Itali, Napoli 3-2 dalam saingan Liga Juara-Juara ketika bertandang ke Naples awal pagi Rabu.
Bintang muda England itu menghasilkan satu gol dan membuat satu hantaran untuk membantu kelab dari Sepanyol itu meraih tiga mata berharga.
“Apa yang mengejutkan saya ialah dia baru berusia 20 tahun. Dia mempunyai kualiti luar biasa dan membuktikan bakatnya,” ujar jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti yang berdepan kelab lamanya, Napoli.
Dalam saingan itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Leo Ostigard pada minit ke-19 dalam aksi yang berlangsung di Stadio Diego Armando Maradona.
Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Vinicius Junior menyamakan kedudukan pada minit ke-27 setelah menerima bola daripada Bellingham.
Bellingham kemudian berjaya membolosi pertahanan Napoli sebelum menghasilkan gol mirip jaringan legenda Argentina, Diego Maradona yang pernah mewakili kelab Itali tersebut.
Jaringan kemenangan Madrid dikira sebagai jaringan sendiri penjaga gol Napoli, Alex Meret hasil rembatan Federico Valverde.
Bellingham ketika ini telah menyumbat dua gol dalam saingan Liga Juara-Juara sejak menyertai Madrid dari Borussia Dortmund pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Dia mengumpul enam gol dalam tujuh aksi La Liga setakat ini.
Bellingham turut meledak pada penampilan pertamanya bersama Madrid dalam kancah Liga Juara-Juara ketika mengalahkan Union Berlin 1-0 pada 21 september lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!