Malaysia perkukuh kerjasama dengan Arab Saudi, Kazakhstan

Nanta (tiga dari kiri) ketika pertemuan bersama delegasi Arab Saudi yang menyentuh tentang kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan di kedua-dua negara.
Nanta (tiga dari kiri) ketika pertemuan bersama delegasi Arab Saudi yang menyentuh tentang kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan di kedua-dua negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia memperkukuh kerjasama dengan Arab Saudi dan Kazakhstan meliputi sektor keselamatan, penyelenggaraan jalan dan infrastruktur menerusi pertemuan bersama delegasi dua negara itu sempena Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 di Prague, Republik Czech.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau berbesar hati menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pengangkutan bagi Hal Ehwal Jalan Raya Arab Saudi, Badr Abdullah Al-Dulami dan Menteri Pengangkutan Kazakhstan, Marat Karabayev sempena kongres anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) itu.

"Dalam pertemuan bersama delegasi Arab Saudi, kami telah berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara serta bertekad untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan di kedua-dua negara.

"Saya percaya ada banyak yang boleh Malaysia pelajari daripada Arab Saudi dalam hal ini dan begitu juga sebaliknya.

"Justeru, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berhubung lanjut bagi meneroka ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan demi kebaikan bersama," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Nanta memberitahu, delegasi Arab Saudi juga telah menyatakan minat untuk mempelajari usaha Kerajaan Malaysia berhubung inisiatif keselamatan jalan raya yang ditekankan terutamanya melalui kempen MYJalan yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara.

Nanta (kanan) bersalaman dengan Marat selepas pertemuan diadakan sempena Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 di Prague, Republik Czech.
Nanta (kanan) bersalaman dengan Marat selepas pertemuan diadakan sempena Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 di Prague, Republik Czech.

"Kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung usaha ini dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga telah menyatakan sokongan Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Arab Saudi dalam usaha membida sebagai penganjur Ekspo Dunia 2030," ujarnya.

Dalam pertemuan bersama delegasi Kazakhstan pula, Nanta memaklumkan, Marat menyatakan hasrat dan minat untuk membawa masuk kepakaran Malaysia dalam membina, membangun dan menguruskan infrastruktur pelabuhan di republik itu.

"Saya amat mengalu-alukan cadangan ini yang sekaligus membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur turut menarik perhatian luar. Saya amat berharap kerjasama ini dapat direalisasikan yang akan membuka peluang pelaburan kepada kedua-dua negara.

"Saya akan membawa cadangan ini untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dipertimbangkan di peringkat kabinet," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!