Belanjawan 2024 beri tumpuan kepada PKS
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan minggu depan, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, ia antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri.
"Pelaburan langsung asing (FDI) adalah penting untuk ekonomi Malaysia dan kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk menarik lebih banyak FDI ke dalam negara.
"Namun, kita juga melihat bahawa pelaburan langsung domestik (DDI) merupakan komponen yang penting dalam pembangunan ekonomi negara dan salah satu DDI ini adalah daripada sektor PKS.
"Ia antara KPI yang diberi tumpuan oleh kerajaan pada masa ini,” katanya selepas merasmikan pusat penghantaran serantau Allianz Asia hari ini.
Beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada PKS disebabkan sektor tersebut memerlukan banyak sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada kerajaan.
"Kita tahu perniagaan Malaysia terutamanya PKS menghadapi banyak halangan dan sedang dalam proses pemulihan selepas dilanda pandemik Covid-19 beberapa tahun lepas.
"Oleh itu, tumpuan perlu diberikan bagi menjadikan sektor tersebut lebih berdaya mampan untuk pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!