Selangor siap sedia hadapi Monsun Timur Laut - MB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seluruh jentera kerajaan Selangor diarahkan bersiap sedia dengan beberapa pelan tindakan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai persediaan itu, Smart Selangor Operation Centre akan mengkoordinasi dan memantau pemakluman kepada rakyat menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi.

Menurut beliau, pusat pemindahan sementara bagi kawasan berisiko bencana akan ditambah fasiliti seperti keperluan asas dan bekalan kit makanan.

Menurut beliau, semua pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan lain yang berkaitan telah dipertanggungjawab untuk segera membersihkan kolam takungan, saliran, parit dan longkang.

"Ini membolehkan sistem saliran air berfungsi secara optimum terutamanya di kawasan berisiko tinggi banjir," katanya pada sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Rabu.

Amirudin pada sidang media khas di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada Rabu.
Amirudin pada sidang media khas di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada Rabu.

Beliau memberitahu, selain melibatkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Exco kerajaan negeri juga telah ditugaskan mengikut skop yang telah ditetapkan.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Selangor, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan beberapa agensi serta institusi lain termasuk Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dan Tohuku University bagi mengurangkan risiko di peringkat lokaliti dengan melibatkan rakyat dan komuniti tempatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini, kerajaan negeri juga bersedia berdepan dengan kira-kira 5,000 jumlah mangsa banjir.

Jelas beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diarahkan menyediakan tambahan bantuan sekali ganda seperti yang berlaku pada tahun 2011.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga akan melancarkan bilik gerakan banjir negeri dan pusat media juga akan dibuka di lokasi yang akan ditetapkan nanti.

Ditanya mengenai aset dan logistik kerajaan negeri bagi menghadapi banjir atau bencana di Selangor, Amirudin menjelaskan, pasukan keselamatan juga diarahkan memastikan semua aset berada dalam keadaan siap siaga dan berfungsi dengan baik.

"Pembelian aset ini juga telah kita selesaikan tahun lalu khususnya di peringkat PBT antaranya beberapa unit bot telah dibeli dan dikendali, malah PBT juga sedang melakukan latihan atau simulasi bagi menghadapi bencana," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!