Insiden Siam Paragon: Suspek dakwa 'diarah' lepas tembakan
BANGKOK - Remaja berusia 14 tahun yang ditahan susulan tembakan rambang di sebuah pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok pada Selasa dikatakan keliru dan fikirannya bercelaru semasa disoal siasat.
Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol berkata, remaja tersebut mendakwa berbuat demikian selepas mendapat arahan daripada individu yang menyerupai dirinya.
Torsak turut memaklumkan suspek adalah pesakit mental di Hospital Rajavithi dan tidak lagi mengambil ubat-ubatan yang diberikan kepadanya.
"Semasa disoal siasat, suspek berada dalam keadaan ketakutan dan memberitahu 'dia' masih di sana bagi merujuk individu yang kononnya menyerupai dirinya," ujar Torsak.
Katanya lagi, suspek mendakwa individu tersebut yang memberikan arahan kepadanya untuk melepaskan tembakan di pusat beli-belah tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri, Srettha Thavisin memaklumkan kos rawatan bagi kesemua lima mangsa yang cedera termasuk seorang warga China dan Laos ditanggung oleh Raja Maha Vajiralongkorn. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!