Syor sekolah di Perak adakan sukan waktu pagi

Sivanesan menunjukkan senarai kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Sivanesan menunjukkan senarai kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Semua sekolah di Perak disyorkan untuk menjalankan aktiviti sukan pada sebelah pagi ekoran jerebu dan cuaca panas ketika ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, cadangan tersebut dikemukakan sebagai langkah memastikan tiada kes kesihatan seperti kesukaran bernafas, gejala conjunctivitis dan sebagainya.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang peningkatan kes melibatkan masalah kesihatan seperti itu biarpun terdapat kawasan di Perak yang mencatat indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.

"Saya dah bawa isu ini kepada perhatian kepada pengarah pendidikan dan mereka sedang ambil tindakan saya difahamkan arahan telah diberi kepada semua guru besar dan pengetua jadi mereka untuk kurangkan aktiviti luar untuk memastikan anak-anak kita tidak terdedah kepada jerebu ini.

"Sekarang musim sekolah menganjurkan sukan tahunan jadi itu kena jaga-jaga. Penganjuran sukan pada waktu petang libatkan cuaca panas. Seelok-eloknya sebelah pagi dan pada masa sama pastikan jerebu berada pada keadaan IPU normal," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan memaklumkan, kes kumulatif demam denggi di Perak meningkat 224.6 peratus dengan jumlah 2,762 kes bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini berbanding 851 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, bagi tempoh sama juga satu kematian berbanding tiada kes kematian pada tahun lalu melibatkan demam denggi.

"Secara kumulatif dan kadar kejadian, semua daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tahun lepas kecuali daerah Perak Tengah.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 11 daerah melaporkan kes denggi pada Minggu Epid 39/2023 iaitu Kinta sebanyak 45 kes, Manjung (15 kes), Kampar (tiga kes), Hulu Perak, Larut Matang dan Selama (LMS), Perak Tengah dan Kuala Kangsar masing-masing (dua kes)," katanya.

Menurutnya, bagi kawasan titik panas demam denggi, Kampung Tersusun Batu 5 di daerah Kinta merekodkan jumlah tertinggi di negeri itu iaitu sebanyak 23 kes, diikuti Blok A (Zon 1) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di daerah Manjung (10 kes) dan Taman Cempaka di daerah Kinta (8 kes).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!