Haris Kasim dilantik Datuk Bandar Shah Alam
SHAH ALAM - Shah Alam menerima Datuk Bandar baharu apabila Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dilantik memegang jawatan tersebut berkuatkuasa 10 Mei lalu.
Haris dilantik bagi menggantikan Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad ditugaskan ke Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sebagai Ketua Pengarah atau Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berkuatkuasa 7 Januari lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya pada Majlis Penyampaian Amanat dan Surat Pelantikan kepada pegawai-pegawai kanan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Datuk Haris Kasim berkata beliau menerima surat pelantikan sebagai Datuk Bandar pada 10 Mei lalu.
"Ya saya terima surat pelantikan efektif pada 10 Mei, tapi saya dapat perlepasan dari kerajaan negeri utk selesaikan tugas di JAIS hingga 31 Mei, terutama urusan Ehya Ramadan bersama Tuanku.
"Saya akan mulakan tugas sebagai Datuk Bandar mulai 3 Jun, dan buat masa ini masih memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK) Adi Faizal Ahmad Tarmizi turut akan bertugas sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor berkuat kuasa 10 Mei.
Adi Faizal dilantik menggantikan Mohd Zubir Idrus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!