Selangor tidak berminat teroka unsur nadir bumi
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian untuk tidak menerokai bidang perlombongan nadir bumi (REE) sebagai sumber pendapatan baharu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dasar kerajaan negeri sememangnya tidak berminat untuk meneroka REE sejak tahun 2016 lagi.
Sehubungan itu katanya, sekiranya terdapat sebarang cubaan, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Ada dua perkara iaitu berkaitan SOP (prosedur operasi standard) kalau kita ingin mengadakan penerokaan nadir bumi.
"SOP kita kena buat kalau hendak teroka (REE), apatah lagi sekarang ini (kerajaan negeri) tidak teroka," katanya pada sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, kata beliau, meskipun terdapat unsur nadir bumi di negeri itu, namun kerajaan negeri tidak berminat untuk tujuan sedemikian.
Pada Selasa, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan kerajaan negeri kini dibenarkan melaksanakan penerokaan awal REE berdasarkan SOP sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.
Nik Nazmi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang berlangsung pada Isnin.
Amirudin ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Belanjawan Selangor 2024 berkata, perkara itu dijangka dibentang selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Kita jangka pertengahan November dan akan diadakan semasa sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!