Terengganu umum bonus raya penjawat awam minggu depan

Ahmad Samsuri (kanan) bersama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman.
Ahmad Samsuri (kanan) bersama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersetuju untuk memberikan bantuan khas Aidilfitri atau bonus raya kepada 12,700 kakitangan awam di negeri ini dan akan mengumumkan jumlah insentif yang akan diberikan pada minggu depan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun terdapat beberapa kekangan kewangan, kerajaan negeri akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.

"Ada beberapa perkara sedang diteliti dan dipertimbangkan sebelum memutuskan jumlah pemberian tersebut terutama melibatkan kedudukan kewangan dan jumlah penjawat awam yang akan menerima manfaat itu.

"Perkara ini perlu dilihat dahulu sebelum menentukan jumlahnya supaya ia tidak membebankan kerajaan negeri dalam keadaan beberapa pemotongan drastik sebanyak 25 peratus yang dibuat oleh kerajaan pusat melibatkan wang royalti Terengganu," katanya pada sidang media, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya selain royalti pengurangan hasil yang drastik akibat tunggakan bayaran hutang kerajaan pusat kepada kerajaan negeri menjadi antara punca terhadap kekangan kewangan itu.

"Untuk tahun 2019, kita juga masih belum menerima bayaran hutang Kerajaan Pusat kepada Terengganu berjumlah RM220 juta yang sepatutnya diterima setiap tahun bermula 2011 hingga 2020.

"Ia adalah bayaran hutang kerajaan pusat kepada kerajaan negeri yang melibatkan projek-projek kerajaan pusat di Terengganu sebelum ini.

"Sehingga kini, jumlah yang patut diterima tetapi tidak diterima lebih kurang RM400 juta melibatkan sebanyak RM220 juta hutan kerajaan dan RM186 juta yang telah dipotong melalui potongan 25 peratus wang tunai petroleum (WTP)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditanya mengenai syarat Dana Raya 2019 yang dilihat agak ketat, katanya, ia mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan negeri.

"Kita memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi pemberian Dana Raya kepada golongan sasar dengan memberi fokus kepada orang kurang upaya (OKU), golongan miskin dan isi rumah berpendapatan minimum RM1,100.

"Pemberian Dana Raya tahun ini lebih bersasar, namun, ia bukan bererti tahun-tahun depan syarat-syarat itu tetap dan tidak akan diubah, ia bergantung pada keadaan kewangan kerajaan negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!