Pas nafi dakwaan Tun M calon PRK Kemaman
KUALA TERENGGANU - Pas menafikan dakwaan meletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemaman.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan setakat ini belum ada perbincangan diadakan bersama pimpinan tertinggi parti mengenai persiapan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
"Saya tak dengar pula ura-ura tentang hal tersebut dan saya baca pun dalam media sahaja selain tiada perbincangan ke arah itu. Kami sebenarnya belum 'sit down' (duduk) bersama dengan pimpinan tertinggi berbincang tentang persiapan hadapi pilihan raya terutama penentuan calon.
"Tak pasti (tarikh mesyuarat), setakat belum ada panggilan untuk mesyarat lagi. Saya jangka kebanyakan negeri (pemimpin) pun banyak urusan masing-masing.
"Saya di Terengganu juga banyak urusan perlu diselesaikan. Dijangka minggu hadapan (mesyuarat) kemungkinan diadakan di Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini pada Rabu.
Pada Rabu, sebuah portal media tempatan mendakwa Pas kemungkinan meletakkan bekas Perdana Menteri itu sebagai calon dalam PRK Kemaman.
Laporan itu hanya memetik sumber rapat Dr Mahathir dengan berkata, rundingan telah dimulakan mengenai pencalonan berkenaan.
Menurut sumber pencalonan itu akan memberinya peluang Dr Mahathir untuk berkhidmat sebagai 'semak dan imbang yang lebih berkesan terhadap Kerajaan Perpaduan', yang telah menjadi pengkritik hebatnya sejak ia mengambil alih Putrajaya November lalu.
Ketika ditanya soal mengekalkan calon yang sedia ada di kerusi Parlimen berkenaan, Ahmad Samsuri berkata, tidak menolak perkara tersebut kerana ada kemungkinan segalanya boleh berlaku.
Mengulas mengenai meletakkan calon dari luar pula, beliau menjelaskan selagi tidak berlaku penamaan calon maka sesiapa sahaja boleh dicalonkan kerana ia terbuka kepada mana-mana pihak yang mempunyai kelayakan ditetapkan.
"Berhubung soal meletakkan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), setakat ini tiada cadangan sedemikian.
"Itu kerusi tradisi pas, ia kerusi 'incumbent' dari Pas," ulasnya.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan itu dibuat Anselm setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi parlimen berkenaan.
Pada 3 Januari lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.
Bagaimanapun, pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.
Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.
Ahmad tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15.
Beliau yang merupakan Pengerusi UMNO Terengganu tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.
Che Alias yang juga penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.
Dua lagi pencabarnya, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Pejuang memperoleh 506 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!