'Mana pergi projek RTB Sungai Temin/Sungai Bata?' - Hasmuni

Antara kawasan sekitar pekan Changlun yang dilanda banjir akibat hujan berterusan pada Rabu lepas. Gambar kecil: Hasmuni
Antara kawasan sekitar pekan Changlun yang dilanda banjir akibat hujan berterusan pada Rabu lepas. Gambar kecil: Hasmuni
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diminta memperjelaskan status projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Temin/Sungai Bata yang dijanjikan sejak tahun 2020.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan berkata, penduduk sekitar Kubang Pasu masih menunggu sejak tiga tahun lalu namun projek berkenaan belum dilaksanakan.

Menurutnya, RTB tersebut merupakan keperluan yang mendesak berikutan setiap kali berlaku hujan lebat berterusan, beberapa kawasan seperti Changlun, Napoh, Bata dan Jitra dilanda banjir.

“Sekarang musim hujan. Setiap kali hujan lebat sehingga dua atau tiga hari, kawasan tersebut ditenggelami air banjir. Masalah ini sudah terlalu lama sehingga masyarakat Kubang Pasu sentiasa bimbang setiap kali hujan lebat,” katanya di sini pada Rabu.

Hasmuni memaklumkan, isu berkenaan pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dalam Dewan Rakyat pada 14 Julai 2020.

“Soalan beliau dijawab oleh Menteri Alam Sekitar dan Air pada ketika itu, bahawa RTB Sungai Temin/Sungai Bata telah dimohon dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada 10 Mei 2020 dengan kos sebanyak RM100 juta.

“Persoalannya, mana pergi projek itu sekarang? Hujan dan banjir tidak boleh ditunggu-tunggu, apatah lagi hendak ditahan-tahan. Jika benar itulah tarikh yang dimohon, takkan sehingga tiga tahun masih belum lulus?” soalnya.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, adalah amat wajar projek tebatan banjir tersebut disegerakan supaya tidak berlaku kejadian buruk dan tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon kerajaan memandang serius isu ini dan segerakan penyelesaiannya.

“Banjir menyebabkan banyak kerosakan harta benda termasuk tanaman padi, malah turut mengancam nyawa dan menyebabkan terhentinya aktiviti sosio ekonomi masyarakat setempat,” jelasnya.

Hasmuni berharap projek berkenaan diteliti semula dan dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 memandangkan ia keperluan untuk menjaga kebajikan rakyat setempat.

“Adakah projek tersebut masih belum boleh dimulakan? Kenapa, rakyat perlu diperjelaskan, jangan sampai ada rakyat Kubang Pasu yang lemas akibat banjir, baru jentolak hendak dihantar untuk mulakan kerja,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!