Megawati bertemu Anwar bincang berkaitan projek Nusantara
KUALA LUMPUR - Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, pada Selasa, untuk membincangkan pembangunan projek Nusantara, ibu negara Indonesia, lapor Agensi Berita ANTARA.
Dalam satu kenyataan, Megawati berkata, beliau berbincang mengenai Nusantara dengan Anwar memandangkan Malaysia sebelum ini memindahkan pentadbiran kerajaan persekutuan ke Putrajaya.
"Malaysia melakukannya dahulu apabila berpindah (pusat pentadbiran) dari Kuala Lumpur ke Putrajaya," katanya.
Anak Megawati, Puan Maharani turut hadir pada pertemuan itu.
Menurut Megawati, Anwar berkata, pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Nusantara, lebih kompleks.
"Beliau berkata berdasarkan keadaan Nusantara yang sedia ada, ia akan mengambil masa lebih lama...," katanya.
Pertemuan itu berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri yang turut dihadiri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Megawati berada di Malaysia selama dua hari untuk menerima ijazah doktor kehormat dalam bidang sains sosial dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pada Isnin. - Bernama-ANTARA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!