Mampu jana lebihan RM19 bilion hasil cukai jika laksana GST

Apurva - Foto Bernama
Apurva - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mampu menjana lebihan RM19 bilion hasil cukai pada 2022 sekiranya melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, perbandingan dibuat bukan pada terma nominal tetapi mengikut peratusan hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, GST menjana RM44 bilion dan membentuk kira-kira 2.8 peratus daripada KDNK pada 2017 manakala 2.8 peratus KDNK pada 2022 adalah RM50 bilion.

“SST hanya menyumbang RM31 bilion hasil cukai, iaitu kekurangan RM19 bilion pada 2022.

"Jumlah ini mungkin lebih 61 peratus dengan GST berbanding SST," katanya menerusi hantaran di X pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada September lalu mengumumkan kerajaan terbuka untuk meneroka sebarang usaha memperluaskan asas cukainya termasuk memperkenalkan semula GST.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, tiada perancangan untuk melaksanakannya buat masa sekarang kerana mahu memberi tumpuan kepada pengenalan dan pembangunan Cukai Keuntungan Modal pada 2024.

Apurva memaklumkan, perkara dibangkitkan tersebut bercanggah dengan hujah yang mana hasil kutipan SST setanding dengan GST kerana RM31 bilion itu diperolehi melalui SST pada 2022 manakala GST meraih RM44 bilion bagi 2017.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, jurang perbezaan mungkin dianggap lebih kecil, terutamanya apabila mengambil kira RM19 bilion yang dibelanjakan untuk pembayaran balik GST.

"Ia benar tetapi mengelirukan, ini kerana KDNK nominal Malaysia adalah kira-kira lebih 30 peratus pada 2022 berbanding 2017.

“Justeru, kita perlu lihat kepada peratusan KDNK, bukannya nilai wang ringgit,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!