'Muhyiddin cuba kelirukan, takutkan rakyat' - Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

BENTONG - Dakwaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menukar pentadbiran kerajaan negeri Pahang sekiranya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai disifatkan sebagai cubaan menakut-nakutkan rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba bermain sentimen tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin.

"Ini adalah fitnah yang mereka keluarkan untuk mengelirukan rakyat, takut-takutkan rakyat kononnya akan berlaku perubahan kerajaan.

"Sepatutnya sebagai ahli politik, kita bercakap soal pengharapan, soal kesejahteraan kepada rakyat.

"Bukan dengan cara mewujudkan sentimen menakut-takutkan rakyat, buat cerita bukan-bukan dan membayangkan sesuatu yang bukan-bukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Veteran di Kampung Bukit Gajah di sini pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang tidak menolak untuk mengintai peluang menubuhkan kerajaan selepas PRK Pelangai susulan desas-desus terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang akan lompat parti jika calon PN menang di Pelangai.

Ia berikutan DUN Negeri Pahang, adalah antara negeri yang masih belum melaksanakan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Wan Rosdy berkata, RUU Anti Lompat Parti di Pahang tidak dapat dilaksanakan ketika ini kerana tidak memperoleh sokongan dua pertiga atau 28 ADUN.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini kerana pembangkang sebelum ini pernah menyatakan tidak menyokong RUU itu.

"Sebab mereka (pembangkang) menyatakan tidak menyokong. Kalau bawa sekalipun, mereka tidak sokong, tidak boleh juga.

"Sebab kita (kerajaan) tiada dua pertiga, kita ada 25 sahaja. Untuk dua pertiga kita perlukan 28 ADUN," katanya.

Meskipun begitu, beliau dengan ikrar semua ADUN kerajaan yang menandatangani perjanjian untuk setia dengan kerajaan bawah kepimpinannya.

Dalam perkembangan sama katanya, sentimen yang cuba dimainkan PN tidak akan mempengaruhi pengundi untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) di Pelangai.

"Sebab pada PRK Pulai dan Simpang Jeram jelas menunjukkan apa yang mereka (pembangkang) kata sebagai gelombang dan sebagainya tidak berlaku.

"Kita tahu kita berada di pihak benar, kita buat kerja kita jaga rakyat dan apa yang dah dibuat di Pahang boleh dinilai," katanya.

Media melaporkan terdapat poster tular dalam media sosial memaparkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal diisytiharkan sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya PN menang dalam PRK DUN Pelangai.

Terdapat juga desas desus menyatakan sekiranya PN menang di Pelangai terdapat empat wakil rakyat daripada BN akan memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagimanapun, Muhyiddin pada Selasa menafikan beliau tahu siapa ADUN yang dimaksudnya tetapi mengalu-alukan mereka menyertai PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!