Pahang beri insentif RM10,000 untuk Nur Shazrin

Nur Shazrin menunjukkan pingat emas dimenanginya dalam acara ILCA 6 kategori wanita pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Tasik Dongqian pada 27 September lalu. - Foto Bernama
Nur Shazrin menunjukkan pingat emas dimenanginya dalam acara ILCA 6 kategori wanita pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Tasik Dongqian pada 27 September lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan memberikan insentif sebanyak RM10,000 atas kejayaan atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif yang memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan anak kelahiran Pekan itu memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia itu telah melayakkannya untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik secara merit.

Menurutnya, rakyat Pahang amat berbangga dengan kejayaan yang telah diraih atlet itu sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Negeri Pahang di peringkat antarabangsa.

"Saya berharap atlet-atlet Pahang dapat menjadikan kejayaan Nur Shazrin sebagai satu contoh terbaik untuk berjaya dalam bidang sukan," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, insentif itu sebagai galakan dan dorongan kepada Nur Shazrin untuk lebih cemerlang dalam acara sukan yang diceburinya terutamanya pada Sukan Olimpik nanti.

Nur Shazrin menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia selepas empat hari Sukan Asia Hangzhou 2022 dibuka secara rasmi.

Kejayaan atlet berusia 25 tahun itu sekali gus menyaksikan dia meraih tiket secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Nur Shazrin dinobatkan sebagai pemenang selepas perlumbaan terakhir ILCA 6 terpaksa dibatalkan kerana ketiadaan angin.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah emas pertama Nur Shazrin, selepas meraih gangsa pada edisi Jakarta-Palembang 2018 lima tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!