MCA usah lebih sudu dari kuah - AMK Pulau Pinang
GEORGE TOWN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengingatkan MCA agar tidak usah bersikap lebih sudu dari kuah apabila membuat gesaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar untuk melepaskan jawatan Menteri Kewangan.
Ketuanya, Muhammad Fadzli Roslan berkata, kenyataan MCA yang turut menggesa Perdana Menteri memecat beberapa orang menteri kabinet adalah cadangan yang dilihat sangat tidak berasas.
Menurutnya, Perdana Menteri berkuasa mutlak berhak mencalonkan sesiapa sahaja untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai menteri bawah pentadbirannya dan umum mengetahui bahawa rombakan kabinet adalah hak prerogatif seorang Perdana Menteri.
"Dengan itu, sudah tentunya beliau lebih mengenali dan mengetahui siapa yang harus diganti, dirombak atau ditukar.
"Umum juga mengetahui bahawa menteri-menteri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani kini sedang berusaha keras, kuat, gigih dalam menangani serta mendepani masalah serta cabaran yang sedang berlaku dan masih memerlukan sedikit masa untuk melihat keberkesanan dan impaknya," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan MCA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.
Jurucakap parti itu, Mike Chong berkata, Anwar perlu melantik Menteri Kewangan kedua yang boleh memberi tumpuan kepada hal-hal ekonomi sekali gus membolehkan beliau memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara.
Mike baru-baru ini dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda MCA, turut mencadangkan agar Anwar memecat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana didakwa hanya menimbulkan kontroversi serta gagal melaksanakan tugas mereka.
Sementara itu, Muhammad Fadzli menyarankan agar semua pihak terutamanya Pemuda MCA untuk memperuntukkan sedikit masa kepada Perdana Menteri dan kabinetnya untuk menilai dan memulihkan keadaan negara akibat pemerintahan terdahulu.
Tegasnya, tiada keperluan untuk Pemuda MCA mengarahkan atau mengajar seorang Perdana Menteri memecat, menukar, merombak atau melantik mana-mana menteri atau timbalan menteri dibawah kabinetnya.
Sebaliknya, beliau berkata, dalam usaha negara kini menuju ke arah sebuah negara Malaysia Madani, sebagai sebuah sayap pemuda di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, pemimpin muda mereka harus bersama-sama membantu dan menggembleng tenaga membantu kerajaan dalam menyumbang idea-idea polisi dan dasar bernas terhadap nasib golongan rentan serta belia dan anak muda.
"Mereka seharusnya perlu bersama-sama membanting tulang membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan merealisasikan segala pelan pemulihan yang sedang dan giat dijalankan.
"Tentunya Perdana Menteri dan kabinetnya lebih arif dalam menentukan hala tuju negara," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!