Kenal pasti tanah terbiar untuk projek keterjaminan berskala besar
PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengenal pasti tanah yang sesuai termasuk tanah terbiar untuk menjalankan projek keterjaminan berskala besar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dicapai di dalam mesyuarat pengurusan tertinggi kementerian pada Rabu.
"Projek itu akan diusahakan seperti dilaksanakan di kawasan pertanian Sungai Sembrong Kiri, Kluang dengan keluasan 176 ekar dan jangkaan hasil pengeluaran santan adalah sebanyak 180 metrik tan setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1.4 juta," kata menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Ujar beliau, kerjasama di antara agensi-agensi di bawah kementerian dan kementerian lain khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan dipertingkatkan.
"Ini bagi mendapatkan bantuan dan sokongan dari segi latihan, kemahiran, penyelidikan dan pemasaran termasuk bimbingan dan khidmat kepada pengusaha aktiviti pertanian di bawah KKDW," katanya.
Pada Mac lalu, Ahmad Zahid di Dewan Rakyat memaklumkan KKDW akan membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak dalam usaha menjamin keselamatan negara selain dan membawa golongan petani keluar daripada status miskin tegar.
Estet padi itu akan dilaksanakan menerusi Felcra Berhad (Felcra), dan sudah mendapat persetujuan dasar oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!