Rakyat Kelantan mahu projek sakit segera dipulihkan
KOTA BHARU - Rakyat Kelantan mahu tujuh projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikategorikan sebagai projek sakit di negeri ini segera dipulihkan.
Langkah itu penting dalam memastikan rakyat Kelantan menerima dan menikmati hak pembangunan yang setara seperti di negeri-negeri lain.
Eksekutif Teknologi Maklumat sebuah syarikat swasta, Chua Shiue Dong, 35, berkata, masalah dialami seperti dalam projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang lewat sebanyak 168 hari, perlu diperhalusi dengan teliti.
Katanya, pihak yang dilantik menguruskan projek berkenaan perlu dipertanggungjawabkan terhadap masalah yang timbul.
“Perlu penelitian bagi mendapatkan punca kelewatan dan tindakan tegas termasuk melalui saluran undang-undang diambil kerana projek-projek berkenaan melibatkan jumlah dana jutaan atau mungkin berbilion ringgit.
“Inisiatif lain dan penyelesaian seharusnya segera dilakukan oleh supaya projek-projek ini kembali ke landasan masa yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Rabu.
Sementara itu, usahawan emas, Nik Kartini Shukri, 54, berkata, pembangunan ialah cerminan kemajuan sesebuah negeri yang akan memberi keyakinan untuk menarik lebih ramai pelabur ke dalam negeri.
Tambahnya, LTSIP Pengkalan Chepa yang dinaik taraf juga dijangka membantu memberi laluan pelabur asing dan tempatan untuk mudah mengunjungi Kelantan seterusnya melaksanakan pelaburan di negeri ini.
“Jadi, masalah yang timbul perlu segera diatasi bagi membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat dan negeri.
“Begitu juga bagi projek sakit lain seperti penggantian jambatan Sungai Durian di Kuala Krai dan menaik taraf infrastruktur Hospital Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan di Kubang Kerian yang amat penting untuk kemudahan kepada rakyat,” ujarnya.
Seorang jurujual, Wan Mohd Azmi Wan Deraman, 37, pula berkata, keadaan Kelantan yang sinonim dengan banjir menyebabkan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa Satu dan PLSB Sungai Golok seharusnya dipercepatkan.
“Sekarang sudah hendak masuk musim tengkujuh dan rakyat sudah tentu bimbang terutama mereka yang tinggal di daerah-daerah yang selalu banjir seperti Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tanah Merah.
“Kalau projek ini masih lambat, maka masalah banjir yang sekian lama dihadapi akan berterusan,” kata Wan Mohd Azmi.
Sebelum itu, status projek-projek sakit itu dikesan oleh Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) termasuk PLSB Sungai Kelantan Fasa Satu lewat 193 hari, manakala PLSB Sungai Golok lewat 177 hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!