KKDW diminta kenal pasti tanah sesuai untuk tanam kelapa

AHMAD ZAHID
AHMAD ZAHID
A
A
A
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mengenal pasti tanah yang sesuai termasuk tanah terbiar bagi penanaman kelapa menerusi projek keterjaminan berskala besar seperti yang dilaksanakan di kawasan pertanian di Sungai Sembrong Kiri, Kluang, Johor.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, jangkaan hasil pengeluaran kelapa mentah daripada projek berkenaan adalah 600 tan metrik setahun dengan janaan pendapatan kira-kira RM483,000 setahun, manakala jangkaan hasil pengeluaran santan pula adalah sebanyak 180 tan metrik setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1.4 juta setahun.

"KKDW memberi sokongan penuh kepada program yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat terutamanya penduduk luar bandar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKDW di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) menggariskan beberapa strategi untuk mempertingkatkan peranan luar bandar sebagai hab keselamatan makanan negara dengan KKDW sendiri telah menjalankan pelbagai inisiatif.

"Antaranya ialah seperti program Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) yang mengoptimumkan pembangunan di tanah-tanah terbiar dalam beberapa perkampungan sedia ada dengan membangunkan produk nic dan dikembangkan supaya wujud ekonomi berskala besar," katanya.

Beliau berkata, projek lain yang telah dilaksanakan agensi di bawah KKDW ialah membangunkan estet padi di Seberang Perak, Perak, seluas 3,264 hektar di bawah seliaan Felcra Berhad (Felcra), dengan nilai keluaran kasar yang dianggarkan untuk dua musim setahun hingga pertengahan 2023 sebanyak 23,737 tan metrik.

"Felcra turut akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah untuk membangunkan projek penanaman padi secara berkelompok seluas antara 15,000 dan 20,000 hektar.

"Usaha seumpama ini dapat membantu kerajaan menstabilkan stok penimbal beras yang disasarkan mencapai 290,000 tan tahun ini serta meningkatkan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Lembaga Kemajuan Wilayah di bawah KKDW juga akan meneruskan pelaksanaan program peningkatan keterjaminan makanan melalui penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, penternakan lembu dan ayam serta melaksanakan projek-projek akuakultur.
Artikel Berkaitan:


Dalam hal ini, katanya KKDW akan bekerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan Tahap Sara Diri yang disasarkan dapat dicapai.

Ahmad Zahid juga mahukan kerjasama di antara agensi di bawah KKDW dan KPKM dipertingkatkan termasuklah berkaitan bantuan dan sokongan dari segi latihan, kemahiran, penyelidikan dan pemasaran. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!