Didakwa caj mahal, pemilik kedai makan beri penjelasan
[DIKEMAS KINI] PEMILIK kedai makan yang didakwa mengenakan caj mahal untuk hidangan makanan laut di Johor Bharu tampil membuat penjelasan pada petang Rabu.
Menerusi video yang dimuat naik menerusi laman sosial itu, wanita berkenaan turut memperincikan setiap caj yang dikenakan terhadap Ekin Rahmat dan hampir 20 ahli keluarga yang lain pada Sabtu lalu.
Antara menu yang dipesan oleh Ekin dan keluarganya adalah pari bakar, siakap 3 rasa, siakap stim, udang butter, sotong goreng tepung, ketam dan siput gongong.
"Saya pemilik gerai nombor 14, tujuan video ini dibuat untuk memberi pencerahan berkaitan video yang dimuat naik di media sosial oleh selebriti tanah air yang tidak berpuas hati dengan harga makanan yang tidak memuaskan.
"Pada hari Sabtu 30/9, waktu petang mereka telah datang lebih kurang 20 orang termasuk kanak-kanak.
"Dalam video awak cakap ikan makan dua ekor sahaja, sebenarnya total enam hidang," ujar wanita berkenaan.
Pada penghujung video itu, wanita tersebut berkata, dia bersedia bertemu dengan pasangan selebriti itu sekiranya Mawi dan Ekin masih belum jelas dengan harga yang dikenakan.
Terdahulu, Ekin atau nama sebenarnya Nora’ Asikin Rahmat memuat naik hantaran di media sosial dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan caj melampau sebuah kedai makan di Johor Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!