2,300 tentera negara-negara FPDA sertai Eksesais BL23
KUANTAN - Seramai 2,300 anggota tentera dari Angkatan Tentera Negara-Negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) menyertai Eksesais Bersama Lima 2023 (BL23) bermula 2 hingga 20 Oktober ini.
Majlis pembukaan BL23 disempurnakan Panglima Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Laksamana Madya Aaaron Beng Yao Cheng di Pusat Peperangan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama di sini pada Rabu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman diberi perghormatan menyempurnakan pemakaian lencana Eksesais BL23 kepada wakil-wakil angkatan tentera negara-negara FPDA.
Pemakaian lencana itu sebagai simbolik bermulanya Eksesais BL23 secara rasmi.
Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama memaklumkan, Eksesais BL23 merupakan eksesais gabungan tahunan antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara angkatan tentera negara-negara FPDA terdiri Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.
"Eksesais itu dilaksanakan secara latihan lapangan (FTX) di sebahagian kawasan perairan, darat, udara Semenanjung Malaysia dan Singapura.
"Latihan itu turut melibatkan kawasan perairan serta udara Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.
"Aset terlibat terdiri tujuh kapal perang, 40 pesawat udara pelbagai jenis dan beberapa aset darat milik negara-negara FPDA," jelas Markas Angkatan Bersama melalui satu kenyataan pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, Brigedier Jeneral Muhammad Taha Hamdan (TUDM) telah dilantik sebagai Pengarah Eksesais BL23 kali ini.
"Bersesuaian dengan falsafah perjanjian FPDA yang bersifat defensif, eksesais ini bukan satu bentuk ancaman kepada negara-negara sekitar tetapi latihan yang telah dirancang sesuai dengan tahap profesionalisme angkatan tentera negara-negara FPDA.
"Eksesais ini memberi peluang serta ruang kepada negara FPDA berkongsi kepakaran dan pendapat dalam menghadapi sebarang bentuk konflik pada masa hadapan," jelasnya.
Menurut Markas Angkatan Bersama, Eksesais BL 23 itu dilaksanakan setiap tahun secara bergilir oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
"Tujuan Eks BL 23 untuk melatih keupayaan pasukan pertahanan FPDA di dalam mengatur-gerak, merancang dan menjalankan operasi di peringkat Gabungan Pasukan Petugas Bersama (CJTF) dengan mengkhususkan kepada integrasi taktikal gabungan dan bersama pada persekitaran pelbagai ancaman," jelasnya.
Hadir sama pada Majlis Pembukaan Eksesais BL23, Panglima Angkatan Tentera Australia Jeneral Angus John Campbell, Panglima Angkatan Tentera New Zealand, Air Marshal R. Short, Naib Ketua Angkatan Pertahanan United Kingdom, Jeneral Gwyn Jenkins dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!