Halangan lalu lintas catat jumlah saman tertinggi
KUALA LUMPUR - Halangan lalu lintas antara kesalahan tertinggi dikesan dilakukan pengguna jalan raya di ibu kota dengan jumlah saman sebanyak 215,974 menerusi dua fasa Operasi Hormat Undang-Undang sejak dilancarkan Julai lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesalahan tersebut mencatatkan saman sebanyak 143,673 bagi Fasa 1 dan 72,301 bagi Fasa 2.
"Operasi Hormat Undang-Undang Fasa 1 telah mencatatkan jumlah saman keseluruhan sebanyak 174,390 manakala Fasa 2 memperlihatkan jumlah saman yang dikeluarkan adalah sebanyak 92, 262.
"Antara kesalahan yang diberi tumpuan utama adalah halangan lalu lintas, berhenti di petak kuning, meletak kenderaan di laluan pejalan kaki, tiada lesen memandu melibatkan warga tempatan juga warga asing dan lampu isyarat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, tangkapan melibatkan kedua fasa operasi ini melibatkan seramai 481 individu.
"Jumlah tangkapan Operasi Hormat Undang-Undang Fasa 1 adalah sebanyak 309 orang melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan trafik manakala bagi Operasi Hormat Undang-Undang Fasa 2 menunjukkan sebanyak 172 orang.
"Jumlah tangkapan bagi kedua fasa ini berbeza disebabkan tempoh masa operasi yang dijalankan," katanya.
Menurutnya, operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan patuh terhadap peraturan jalan raya.
"Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik KL di talian 03-20719999 / 03-20719777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya.
Operasi Hormat Undang-Undang Polis Kuala Lumpur dijalankan melibatkan dua fasa iaitu Fasa 1 bermula 3 sehingga 31 Julai 2023 dan Fasa 2 bermula 15 sehingga 29 September 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!