Bersih 2.0 cadang menteri mohon cuti untuk bantu kempen PRK
KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) mencadangkan menteri memohon cuti tanpa gaji atau cuti tahunan ketika waktu bekerja sekiranya mereka ingin menyertai kempen pilihan raya kecil (PRK).
Cadangan tersebut adalah salah satu daripada lima cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 selepas had yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada menteri agar tidak berkempen semasa waktu bekerja adalah munasabah bagi mengelakkan salah guna sumber kerajaan.
“Bagi menangani kebimbangan perdana menteri yang pengehadan pilihan raya tersebut akan memberi kekurangan kepada kerajaan yang memerintah, Bersih 2.0 ingin mencadangkan penyelesaian iaitu menteri atau penjawat awam yang juga pemimpin parti politik harus memohon cuti tanpa gaji atau cuti tahunan ketika waktu bekerja sekiranya mereka ingin menyertai kempen ketika pilihan raya kecil.
“Selain kenderaan rasmi, pemandu dan anggota keselamatan yang ditugaskan kepada menteri atau pegawai kerajaan, aset dan pegawai kerajaan tidak boleh ditugaskan untuk mengiringi mereka semasa tempoh berkempen,” kata Bersih 2.0 melalui kenyataan hari ini.
Selain itu, Bersih 2.0 mencadangkan perdana menteri dibenarkan menggunakan pesawat kerajaan, disebabkan oleh faktor keselamatan, jika parti atau gabungan itu membayar tambang kelas pertama untuk perdana menteri dan rombongannya.
“Bagi mengelakkan parti politik menghabiskan dana mereka untuk perbelanjaan tersebut, kerajaan Pakatan Harapan harus mempercepatkan implementasi pendanaan parti politik oleh dana awam berdasarkan undi yang diterima dalam pilihan raya yang lepas.
“SPR juga perlu menjalankan kuasa mereka di bawah Perkara 113(5) Perlembagaan Persekutuan untuk berusaha menghasilkan Kod Etika Tatalaku yang komprehensif meliputi fungsi kerajaan semasa pilihan raya kecil dan kerajaan sementara semasa pilihan raya umum sebagaimana rakan sejawatan mereka di India lakukan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan berbincang dengan SPR berkenaan sekatan terhadap menteri Kabinet untuk berkempen dalam pilihan raya ketika waktu bekerja.
Katanya, sekatan tersebut seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak mempunyai kerja untuk berkempen 24 jam, sedangkan menteri-menteri tidak boleh berkempen.
Dalam pada itu, Bersih 2.0 mengharapkan supaya Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berdiri teguh untuk had ini bagi mengelakkan sebarang tanggapan bahawa suruhanjaya itu dikawal oleh Dr Mahathir.
Ini kerana katanya, pengehadan ‘aktiviti politik ataupun aktiviti lain penjawat awam diluar skop tugasan rasmi mereka’ adalah selari dengan resolusi 51/59 Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertajuk ‘Tindakan Menentang Rasuah’.
“Dokumen kod tatalaku parti politik oleh IDEA Antarabangsa bertajuk Kempen di dalam Pilihan Raya Demokratik juga menggesa parti politik untuk: tidak menggunakan sumber rasmi kerajaan/negara, wilayah, perbandaran, atau lain-lain sumber awam untuk tujuan berkempen,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!