Pakistan hentikan cabaran skuad kabbadi negara di Hangzhou 2022

Cabaran skuad kabbadi lelaki negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 berakhir.
Cabaran skuad kabbadi lelaki negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 berakhir.
A
A
A

CABARAN skuad kabbadi lelaki negara di Sukan Asia Hangzhou 2022, berakhir selepas tewas 35-58 kepada pemenang pingat gangsa edisi lepas, Pakistan pada aksi terakhir Kumpulan B di Pusat Sukan Xiaoshan Guali pada Rabu.

Turun dengan misi wajib menang, pasukan negara terpaksa berputih mata terlepas slot ke separuh akhir setelah menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga dengan dua mata, dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.

Pasukan Malaysia yang memulakan saingan menerusi kemenangan tipis 40-38 ke atas pemenang pingat perak edisi Jakarta-Palembang 2018, Korea Selatan pada Isnin, kemudian dibelasah oleh juara bertahan, Iran 53-23.

Iran yang meraih kedudukan pertama dengan enam mata akan bertemu Naib Juara Kumpulan A di separuh akhir, manakala Pakistan (4 mata) beraksi menentang juara kumpulan berkenaan.

India merupakan pasukan paling cemerlang apabila meraih emas tujuh kali berturut-turut sejak sukan itu diperkenalkan pada edisi 1990 di Beijing.

Namun India terpaksa berpuas hati dengan gangsa edisi lepas selepas dikecewakan oleh Iran di separuh akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!