Bubur lambuk tomyam istimewa
JOHOR BAHRU - Yayasan Warisan Johor (YWJ) menyediakan bubur lambuk istimewa perisa tomyam untuk diagihkan kepada orang ramai, hari ini.
Selain tomyam, turut disediakan bubur lambuk perisa sup, beriani dan kurma.
Sebanyak lima periuk bubur lambuk disediakan 30 kakitangan YWJ dengan resipi khas bekas Pegawai Sejarah YWJ, Kamdi Ramli.
Menurut Kamdi, sebelum ini beliau berpengalaman memasak bubur lambuk selama 20 tahun untuk Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee dan Masjid Bulatan Kampung Melayu.
"Setiap tahun kita buat bubur lambuk ini dan ini sudah masuk tahun ke-10. Kali ini kita buat dua periuk bubur lambuk tomyam kemudian tiga lagi periuk untuk kurma, sup dan beriani.
"Istimewa di sini bubur lambuk tomyam kerana kita tak jumpa di luar. Malah kita juga guna tulang kambing untuk perisa sup," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program memasak bubur lambuk di bangunan yayasan, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 1,750 bungkus bubur akan diedarkan kepada orang ramai hari ini.
"Setiap periuk kita guna 12 kilogram beras dan boleh dapat 350 bungkus bubur setelah dimasak selama dua jam.
"Selain itu sebanyak 10 kilogram daging, 20 kilogram tulang kambing, lima ekor ayam, 2 kilogram sotong dan 2 kilogram udang. Kita tak guna sayur-sayuran seperti kebiasaannya," katanya.
Difahamkan, YWJ menyediakan bubur lambuk istimewa itu sebanyak lima kali sepanjang Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!