Mubarak sokong wujudkan Menteri Kewangan II
SHAH ALAM - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menyokong cadangan kerajaan mewujudkan jawatan Menteri Kewangan II bagi membantu tugas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui kementerian itu.
Presidennya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata, tidak timbul masalah bagi Perdana Menteri untuk terus kekal sebagai Menteri Kewangan walaupun berdepan jadual tugas harian yang padat jika jawatan baharu berkenaan diwujudkan.
“Dalam keadaan ekonomi (yang mencabar) sekarang, elok sangat Perdana Menteri menerajui Kementerian Kewangan kerana beliau boleh mengawasi dan membuat keputusan secara terus berkaitan keperluan rakyat melibatkan kewangan secara keseluruhannya.
“Kalau Perdana Menteri tidak pegang jawatan Menteri Kewangan, beliau tidak dapat mengawasi kementerian itu secara terus kerana setiap portfolio kementerian ditadbir urus atau berfungsi secara sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan MCA supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran negara susulan wujud desas-desus mengenai rombakan kabinet.
Jurucakap parti itu, Mike Chong berkata, Anwar boleh melantik Menteri Kewangan II yang mampu memberi tumpuan kepada hal-hal ekonomi sekali gus membolehkan Anwar memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara.
Abdul Aziz memberitahu, dalam kabinet kerajaan sebelum ini juga pernah diwujudkan jawatan Menteri Kewangan II yang dilantik dalam kalangan pemimpin pakar bidang ekonomi secara makro atau keseluruhannya.
Ditanya calon yang layak untuk mengisi jawatan Menteri Kewangan II, Abdul Aziz berpendapat Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani adalah tokoh yang tepat untuk dilantik ke jawatan berkenaan.
Katanya, ia kerana Johari memiliki pengalaman luas dalam bidang kewangan dan dunia korporat selain pernah menggalas jawatan Menteri Kewangan II pada 2016 hingga 2018 serta memegang antara jawatan tertinggi dalam UMNO yang menjadi sebahagian parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Beliau bekas menteri kanan yang memegang jawatan Naib Presiden UMNO dan menyokong Kerangka Ekonomi Madani nak dibawa oleh Anwar. Jadi selayaknya beliau diberi keutamaan dalam senarai calon Menteri Kewangan II,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!