Naikkan jumlah bantuan, baucar belian ubat kepada OKU

Gambar hiasan. Gambar kecil: Francis
Gambar hiasan. Gambar kecil: Francis
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menambah jumlah bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) melalui Belanjawan 2024 susulan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Presiden Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC), G Francis Siva berkata, ketika ini kebanyakan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang secara relatifnya perlu dibantu dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, peningkatan kos sara hidup yang dirasai umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kepada sebilangan OKU.

“Kami mohon elaun OKU dinaikkan daripada RM450 kepada RM600 sebulan seiring peningkatan harga barangan yang menghimpit kehidupan.

“Jika permintaan itu sukar dilakukan, setidaknya berilah bantuan ihsan atau subsidi tambahan terutama untuk pembelian barang keperluan asas sebanyak RM300,” katanya ketika dihubungi.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion kepada golongan itu melalui bantuan penjagaan pesakit kronik, elaun OKU tidak berupaya kerja dan elaun pekerja cacat.

Dalam pada itu Francis mengakui ramai OKU berdepan kekangan untuk mendapatkan bekalan ubatan di premis kesihatan awam.

Beliau menjelaskan, mereka terpaksa membeli bekalan di farmasi swasta dengan harga yang mahal.

Artikel Berkaitan:

“Ramai OKU yang kena beli ubat sendiri sebab tiada bekalan ubat atau kehabisan stok di hospital.

“Mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk beli ubat, harap kerajaan mempertimbangkan kupon atau bantuan berbentuk baucar untuk pembelian di premis swasta,” ujarnya.