Perangi kartel sakau subsidi rakyat
MALAYSIA mengalami situasi yang sukar ketika ini kerana terpaksa berdepan dengan penyangak atau kartel yang mengambil kesempatan menyembunyikan barang keperluan di pasaran terutama minyak masak dan beras tempatan.
Daripada kaca mata penulis, isu sebenar bukanlah barangan tidak cukup.
Barangan ada, tapi seolah-olah wujud mereka yang khianat, seleweng, memanipulasi harga dan menyorokkan barangan subsidi.
Antara bukti, rujuk saja klip video tular Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang turun padang bersemuka dengan pengilang enggan mengeluarkan beras tempatan peket berserta harga yang ditetapkan kerajaan atas alasan kononnya rugi.
Ketegasan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu turun padang menjaga kepentingan rakyat itu wajar dipuji.
Tidak ramai yang berani ‘perang’ terang-terangan dengan cara sedemikian. Bukan menjaga kepentingan tauke-tauke besar.
Sampai bila kita mahu kayakan kartel-kartel ini. Subsidi diberi kerajaan mereka ‘sakau’, barangan pula disorokkan.
Isu penyelewengan ini kalau kerajaan tak selesaikan, tukarlah kerajaan berapa kali pun, masalah tetap tidak akan selesai.
Selagi juga ada tangan-tangan ghaib melindungi kartel-kartel tamak yang ambil kesempatan menjarah subsidi kerajaan, sampai bila-bila hak rakyat akan terus dicuri.
Contohnya saban tahun, isu kekurangan bekalan atau kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket juga sering dipapar di dada-dada akhbar.
Pada 2 September lalu, lebih 5,000 penduduk di 10 kampung di mukim To’ Uban, Pasir Mas berdepan kesukaran mendapatkan minyak masak peket bersubsidi sejak tempoh sebulan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit melibatkan kampung antaranya Kubang Chenok, Chabang Empat Chetok dan Semuba pada petang Jumaat itu turut mendapati tidak ada langsung barangan itu pada hari berkenaan.
Pengalaman sendiri penulis yang mahu membeli minyak masak peket di kawasan itu juga tidak berjaya apabila peniaga kedai runcit hanya mampu menggeleng-geleng kepalanya isyarat bekalan minyak masak peket sudah habis.
Mujur isu itu pantas diselesaikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan yang menghantar bekalan minyak masak peket kepada peruncit berlesen di kawasan itu sebaik sahaja menerima makluman dari penulis sendiri.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh juga pernah mendedahkan ketirisan dan penyelewengan menjadi penyumbang utama menyebabkan terjadi kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di pasaran.
Kerajaan bahkan mengeluarkan sebanyak 60 juta peket minyak masak sebulan.
Mencukupi untuk keperluan pengguna namun ketirisan atau penyelewengan mengakibatkan orang ramai tidak dapat membeli barangan itu.
Satu lagi kes dibongkar oleh KPDN Kelantan pada 12 September lalu, membabitkan seorang wanita warga emas berusia 65 tahun di Cherang Tuli, Padang Pak Amat, Pasir Puteh yang ‘merompak’ minyak masak peket bersubsidi dengan membuka bungkusan plastik dan mengisi semula minyak itu ke dalam tong-tong berpelekat bahan kimia dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Kes-kes seumpama itu seperti memberi jawapan bagaimana minyak masak bersubsidi kita boleh didapati dengan mudah di negara jiran seperti di Selatan Thai.
Penulis yakin, rakyat mahu kerajaan bertindak tegas ke atas kartel-kartel jahanam dan penyeleweng yang merompak subsidi rakyat ini.
Penulis juga mengharapkan mekanisme kerajaan nanti dilaksanakan secara telus dan tulus supaya tiada seorang pun B40 serta M40 tercicir daripada menikmati subsidi dan hak rakyat itu terlepas ke tangan penyeludup atau warga asing.
*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!